Ditahan kerana selit pistol di seluar

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Gara-gara menyelitkan pistol tiruan atau pistol tembak cicak di bahagian belakang seluarnya semasa menunggang motosikal di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, seorang pengawal keselamatan ditahan polis selepas perbuatannya dirakam dan gambarnya tular di media sosial Facebook semalam.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata lelaki itu ditahan di tempat kerjanya di Sungai Ara, dekat sini kira-kira 3 pagi tadi bagi membantu siasatan.

“Lelaki itu mengaku gambar yang tular tersebut adalah dia dan memaklumkan membeli pistol tiruan atau pistol tembak cicak berkenaan di sebuah kedai runcit di kawasan Tanjung Tokong pada Mei lepas dengan harga RM70. 

“Dia juga memaklumkan tujuan menyelitkan pistol tiruan semasa menunggang motosikal adalah untuk suka-suka bukan untuk tujuan jenayah,” menurut Soffian dalam kenyataan hari ini.

Katanya, lelaki yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah itu direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998. – BERNAMA

- Advertisement -