TH: Silap siapa sebenarnya?

AppleMark
- Advertisement -

APABILA PH mengambil alih kerajaan pada tahun Mei 2018, antara perkara yang ditimbulkan mereka ialah keadaan Tabung Haji yang dikatakan sakit. Menteri Agama ketika itu mula menunjukkan data-data yang dikatakan sebagai penyelewengan oleh pemegang amanah yang terdahulu iaitu BN. Penerangan demi penerangan disebarkan sebagai usaha memahamkan keadaan kewangan TH kepada rakyat.

- Advertisement -

Tidak terhenti setakat itu, gaji-gaji Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji diuar-uarkan ke seluruh pelusuk alam dengan jumlah yang menjatuhkan rahang, membeliakkan mata manusia yang mendengarnya. Terdapat kalangan rakyat yang dengan pantas menyatakan bahawa gaji-gaji itu tidak sepatutnya berjumlah demikian. Apatah lagi bukan keuntungan TH yang mereka diberikan, tetapi kerugian.

Seterusnya tajuk ini dimainkan oleh orkestra pimpinan PH. Sungguh merdu lagunya. Malah sebelum PH menang itu juga, TH telah dituduh dan diadakan kempen mengeluarkan wang simpanan. Cuma agak pelik kerana ketua kempennya itu, tidak pula mengeluarkan wangnya dari TH. Tidak sedikit rakyat yang tertipu waktu itu. Agak berhasil propaganda ini.

Sehinggakan mantan Pengerusi TH, telah dikenakan tahanan reman oleh SPRM atas alasan siasatan penyelewengan. Dan memeningkan rakyat, walau setelah dua tahun berlalu, tiada dakwaan dikenakan terhadap beliau oleh Kerajaan PH yang mendakwa ada berlaku penyelewengan oleh beliau.

Ketika masih memegang kuasa, PH kemudiannya dituduh menjual aset TH kepada bukan-Islam. Amat menghiris perasaan seluruh umat Islam di Malaysia, hatta jika mereka tidak menyimpan langsung di TH, apabila dimainkan isu harta orang Islam diambil oleh bukan-Islam pun, akan terasa. Sama sahaja dengan misalnya masjid hendak diroboh, walaupun tidak pernah ke masjid atau solat, tetapi sentimen sebagai orang Islam cukup perit dan ingin bertindak jika masjid mahu diroboh.

Berapa ramai yang benar-benar marah dengan tindakan PH yang memperlakukan aset umat Islam sehingga sebegitu dahsyat? Dan akhirnya kebencian membuak-buak, tidak boleh ditahan lagi. PH sudah tidak dianggap sebagai kerajaan yang mahu mempertahankan Islam oleh majoriti rakyat Malaysia. Sentimen itu berjaya dimainkan.

Takdir Allah, PH dijatuhkan oleh Tun Mahathir sendiri. Kini isu TH dijalankan di bawah tanggungjawab PN pula, terutamanya dari BN. Maka keluarlah segala bentuk penyataan bagi mengatakan bahawa Kerajaan BN dahulu adalah betul dan PH sengaja memberikan kekaburan dalam penerangan mereka bagi membodohkan rakyat. Termasuklah isu berkenaan ketiadaan laporan kewangan selama dua tahun PH memerintah.

PH pula bangun mempertahankan apa yang didakwa kebenaran oleh mereka sehinggakan jawapan dari Perdana Menteri telah disebarkan bagi menjadi perisai kepada PH, yang aset TH tidak diserahkan kepada bukan-Islam. Bangun pula bekas Pengerusi TH, Ahli Parlimen Baling mempertahankan dirinya. Tun Mahathir meminta laluan, namun tidak dipenuhi sehinggakan Maszlee cuba memberikan ruang beliau bertanya kepada Tun agar YB Azeez berperang dengan Tun.

Timbalan Menteri Agama PN pula memberikan penerangan berkenaan berberapa perkara yang dikatakan sebagai tindakan yang tidak betul oleh PH dahulu. Ia disangkal kembali oleh Mujahid walaupun dengan keadaan yang dipersoalkan oleh orang ramai yang menonton perdebatan itu. Terbongkar juga berkenaan harga tanah ladang yang dijual kepada syarikat bukan Islam dengan harga RM4,500 sehektar.

Kesemua data, dakwaan, serangan, pertahan diri antara kedua-dua belah pihak berkaitan TH ini dilihat tiada sebarang keputusan yang tuntas yang akan membawa kepada kebaikan untuk rakyat Malaysia. Ianya berlegar dengan persekitaran di kawasan yang kelabu, tidak jelas mana satu yang betul. Tuduh menuduh seperti tiada berkesudahan oleh mereka yang berkuasa.

Mengambil contoh Terengganu, ketika mula mendapat negeri dalam PRU14 lalu, suatu sikap yang jelas diambil ialah tidak mahu menyalahkan kerajaan terdahulu demi untuk meneruskan agenda melindungi rakyat. Sikap terpuji ini dapat dilihat hasilnya setelah beberapa lama kemudian, PAS dan Umno di Terengganu tidak lagi meneruskan pergaduhan lama mereka, kecuali beberapa kerat golongan yang tidak reti bersyukur yang masih ada dalam Umno, yang tetap mahukan perbalahan diteruskan.

Isu TH ini jika benar mahu diteruskan sebagai isu penyelewengan harta rakyat, perlulah ia sehingga ke mahkamah untuk ditangkap segala peringkat penyamun dan pencuri itu. Biarlah mahkamah yang menghukumnya. Tunjukkan kepada semua iaitu amanah rakyat telah dipecahkan. Biarlah ia menjadi catatan hitam agar dijadikan sempadan oleh golongan akan datang.

Tetapi jika isu TH ini hanya berlegar untuk membelasah sesama sendiri tanpa apa-apa tindakan, ianya akan menjadi isu yang tidak berkesudahan. Rakyat diperbodohkan dengan perbalahan-perbalahan ini yang mana mereka ahli-ahli politik kemudiannya berjumpa di kafe Parlimen bersalam, tersenyum, makan dan minum bersama, sedangkan dalam masa yang sama meninggalkan rakyat dengan luka yang dalam. Isu TH ini akhirnya tidak lebih sebagai ‘political mileage’ bagi PH dan PN.

Jika tidak mahu mendakwa, lupakan sahaja isu TH ini. Dan jika mahu mendakwa, dakwalah dengan seadil-adilnya kerana jika aset itu hilang kerana salah urus, ia duit rakyat. Tetapi jika aset itu hilang kerana salah strategi berniaga, maka adakah hukuman untuk itu? Rugi berniaga boleh dikenakan tindakan undang-undangkah? Ia sama seperti bodoh. Bodoh bukan kesalahan. Tetapi memperbodohkan orang itu salah.

Saya bersetuju dengan cadangan Ketua Pemuda Umno, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki untuk diadakan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi isu TH ini. AJK PAS Pusat, Dr. Riduan Mohamad Nor juga berpendapat perlu disegerakan siasatan agar diketahui apa yang berlaku. Sikap berdendam ini akan mengakibatkan ia tidak berkesudahan. Sudah berapa banyak fitnah yang ditelan dan dihadam oleh rakyat tanpa mereka tahu bahawa itu adalah fitnah oleh pimpinan mereka.

Dan RCI ini juga insyaAllah akan menjadi mesin basuh politik sama ada kepada PH ataupun BN. Jika PH bersalah, maka mereka mungkin tidak akan dipilih lagi oleh rakyat. Jika Kerajaan BN dahulu pula yang bersalah, maka Kerajaan PN sekarang juga akan terpalit dengan dosa lalu BN. Dan walaupun PAS langsung tidak berdosa dalam isu ini, tetapi kesannya sedikit sebanyak turut akan dirasa.

Tetapi jika kedua-duanya PH dan BN jelas ada melakukan kesalahan strategi, kedua-duanya tidak boleh dikatakan bersalah kerana ia hanya kesilapan teknikal, salah langkah berniaga. Adakah peruntukan tidak membenarkan TH menjual asetnya kepada bukan-Islam? Adakah akta yang mengatakan tidak dibenarkan TH rugi? Semua tuduh menuduh ini hanya berlegar tentang isu ini sahaja. Dan siapa yang harus bertanggungjawab menggantikan wang rakyat itu? Perlukah memanjangkan perbalahan dan polemik ini?

Ingat lagi kerugian berpuluh billion wang rakyat Malaysia dalam urusan Forex sekitar awal 90-an dahulu? Apa jadi dengan isu itu? Siapa yang didakwa? Siapa yang bersalah? Siapa yang dihukum? Jawapannya, tiada. Hanya adegan tuduh-menuduh yang tidak berkesudahan. Tetapi tetaplah wang rakyat yang hilang. Adakah isu TH ini akan berlaku hal yang serupa dengan isu Forex dahulu? Sama-sama kita tunggu.

MOHD NASIR ABDULLAH
24 Julai 2020 – HARAKAHDAILY 24/7/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -