Politik baharu rakyat robohkan masa depan PH

ph
- Advertisement -

BERBAGAI perkhabaran kita dengar kebelakangan ini yang ternyata menggambarkan masa depan semakin kelam dan kusut buat pihak pembangkang khasnya Pakatan Harapan (PH) Plus.

Setelah hilang kuasa di Putrajaya secara mengejut dan lolos penguasaan di empat negeri lain iaitu Johor, Melaka, Perak dan Kedah mereka ternyata gagal menampan impaknya yang timpa-menimpa itu dan kini masing-masing parti bergelut mempertahankan kubu masing-masing yang retak menunggu belah.

Terbaru dilaporkan seorang ADUN PAN di Johor telah melepaskan semua jawatan politiknya. Alasannya hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu di peringkat negeri dan konflik dalam parti setiap peringkat. Manakala di Selangor pula sekurang-kurangnya 2 ADUN PAN lain dikhabarkan mahu beralih angin itu tidak
mengambil kira beberapa penyokong tegar Datuk Seri Azmin di kalangan ADUN PKR yang turut mahu beralih angin ke arah PN.

- Advertisement -

Dalam pada itu pimpinan parti dan ahli-ahli PKR sekelompok demi sekelompok di peringkat akar-umbi meninggalkan parti juga atas alasan hilang kepercayaan pada pimpinan parti. Ini bukan hanya berlaku di Semenanjung malah termasuklah di Sabah dan Sarawak.

Semalam pula Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dipanggil hadir ke Pejabat SPRM Putrajaya untuk membantu penyiasatan kes rasuah melibatkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang. Sebelum itu beberapa pimpinan Negeri DAP di Pulau Pinang turut diambil keterangan. Apa sudah jadi?

Manakala lebih panas semalam dilaporkan oleh MalayMail bahawa ADUN-ADUN PN di Sabah hanya kekurangan satu kerusi sahaja untuk berjaya cukup bilang bagi mengambil alih Kerajaan Negeri Sabah dari parti WARISAN pimpinan Shafie Apdal yang pro PH. Menurut laporan angka ini dijangka cukup dalam waktu terdekat dan proses pengambil-alihan kerajaan negeri mungkin berlaku dalam beberapa hari. Adakah hayat PH sudah sampai ke penghujungnya?

Adakah kita akan lihat semakin ramai wakil-wakil rakyat PH sama ada di peringkat Parlimen mahupun negeri-negeri terutama di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Sabah memutuskan hubungan mereka samada dengan PKR, PAN, WARISAN mahupun DAP dan menyertai PN, gagasan yang semakin diyakini dan mendapat tempat di hati rakyat jelata?

Hari ini isunya bukan lagi merampas mandat rakyat atau kerajaan pintu belakang, itu semua telah berlalu. Hari ini isunya adalah PH Plus makin hilang pengaruh, bukan hanya di kalangan rakyat malah pimpinan dan ahli-ahlinya sendiri sudah mahu angkat kaki meninggalkan bahtera PH Plus yang semakin lapuk dan bocor itu.

Perkembangan semasa membuktikan bahawa keutamaan rakyat hari ini adalah memulihkan kembali kestabilan dan ekonomi negara pasca COVID-19. Rakyat terlalu muak dan bosan dengan retorik dan politik kosong yang dijaja PH yang tidak membawa manfaat buat semua, rakyat mahu hidup aman dan sejahtera, dan hari ini terbukti ianya hanya dapat dicapai dengan syarat PH disisihkan, maka selamat jalan PH.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 24/7/2020

- Advertisement -