Pesawat penumpang Iran dipintas jet pejuang AS

- Advertisement -

TEHRAN, Iran: Lebih 150 penumpang sebuah pesawat Iran terpaksa dipindahkan sebaik mendarat di lapangan terbang Beirut selepas kapal terbang dinaiki mereka dipintas jet pejuang Amerika Syarikat (AS).

- Advertisement -

Sumber lapangan terbang memberitahu agensi berita Xinhua beberapa penumpang mengalami kecederaan ringan dalam insiden pada Khamis itu.

Pesawat Iran, yang dikendalikan Mahan Airlines, terpaksa melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang untuk mengelakkan perlanggaran dengan jet AS itu, lapor media tempatan.

Dua pesawat perang gabungan antikeganasan dipimpin AS memintas kapal terbang Iran di kawasan al-Tanf di tenggara Syria, ketika dalam perjalanan dari Iran ke Lubnan, menurut agensi berita SANA, memetik sumber Jabatan Penerbangan Awam Syria.

Kehadiran jet pejuang itu memaksa juruterbang terbang rendah menyebabkan beberapa penumpang mengalami kecederaan. Bagaimanapun, pesawat itu meneruskan penerbangannya ke Beirut, kata SANA.

Rakaman video yang tular di media sosial, menunjukkan penumpang cemas dan menjerit.

Kejadian itu pertama kali berlaku di Syria namun, ia dilihat akan menambahkan lagi ketegangan hubungan antara AS dan Iran.

Laporan awal agensi berita Tasnim mendakwa pesawat penumpang itu ‘dipintas’ dua jet pejuang Israel di ruang udara Beirut, Lubnan pada Khamis malam. – BERNAMA

- Advertisement -