Dua keldai dadah cuba bawa syabu ke Sarawak

- Advertisement -

SEPANG: Polis menahan dua lelaki dipercayai keldai dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan merampas kira-kira 11.6 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM440,000 yang dibungkus di dalam bungkusan teh cina, ketika hendak berlepas ke Miri, Sarawak, Rabu lepas.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah KLIA ACP Zulkifli Adamsah berkata suspek pertama berumur 22 tahun ditahan di sekitar kawasan pelepasan KLIA2 pada kira-kira 3:45 petang, yang membawa kepada penahanan suspek berikutnya yang berumur 19 tahun di kawasan pintu masuk pelepasan domestik pada kira-kira 4:15 petang.

Beliau berkata pemeriksaan terhadap bagasi lelaki berumur 22 tahun, seorang penganggur, menemukan lima bungkusan teh cina bertulis ‘Guang Yin Wang’ yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 5.293 kilogram bernilai RM200,000.

Sementara pemeriksaan terhadap bagasi lelaki berumur 19 tahun, seorang penuntut institusi pengajian tinggi di Sarawak, menemukan enam bungkusan teh cina bertulis ‘Guang Yin Wang’ yang mengandungi syabu seberat 6.341 kilogram bernilai RM240,000, katanya.

Zulkifli, dalam sidang media di sini, hari ini, berkata kedua-dua individu tersebut dipercayai daripada sindiket sama yang berpusat di Sarawak, tiba di sini sehari sebelum itu (Selasa) untuk mengambil bekalan dadah di sekitar Selangor untuk diedarkan di Sarawak.
 
“Mereka berdua tidak mempunyai rekod jenayah lampau, dipercayai diberi upah RM600 bagi setiap kilogram dadah yang berjaya dibawa ke Sarawak oleh pihak sindiket,” katanya, sambil menambah ujian saringan urin terhadap mereka adalah negatif.

Zulkifli berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik  (JSJN) ibu pejabat Kontinjen Selangor bagi menjejaki pembekal dan sindiket dadah yang terbabit.

Kedua-duanya direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati, katanya.

“Sindiket dadah ini cuba untuk mengambil kesempatan dalam situasi pandemik COVID-19 ini kerana beranggapan kawalan keselamatan di KLIA2 longgar tetapi sebaliknya polis sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -