PSR tidak boleh mula tanpa pematuhan EIA

Isu berkaitan juga sedang dibawa ke pertimbangan Jabatan Peguam Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) adalah tertakluk kepada Kajian Penilaian Alam Sekitar (EIA) di mana syarat-syarat kelulusan perlu dipatuhi.

- Advertisement -

Katanya, EIA adalah satu keperluan perundangan di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 di mana prosesnya telah mendapat persijilan MS ISO 9001:2015, sekali gus ia adalah satu proses yang ketat dan mengikut amalan di peringkat antarabangsa.

“Penggerak projek ini tidak boleh memulakan sebarang kerja di tapak sehingga Laporan Environmental Management Plan (EMP) diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). EMP ini merupakan salah satu syarat utama daripada syarat-syarat kelulusan EIA yang perlu dipatuhi,” ujarnya.

Dato’ Tuan Ibrahim (PAS-Kubang Kerian) menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) dan Ustaz Sabri Azit (PAS-Jerai) berhubung status PSR pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, PSR melibatkan kerja-kerja penambakan laut yang akan membentuk tiga pulau buatan dengan jumlah keluasan 4,500 ekar (1,821 hektar) telah mendapat bantahan kuat dari pemegang taruh seperti para nelayan, masyarakat setempat, NGO dan pelbagai pihak lain.
 
Katanya, pembangunan PSR juga dikhuatiri akan menyebabkan kemusnahan kekal dan residual impact ke atas ekosistem dataran lumpur (mudflat), kawasan tangkapan ikan (fishing ground), kawasan pendaratan penyu, dan sebahagian terumbu karang di Pulau Rimau.

Jelas beliau, semua itu merupakan ekosistem penting kepada sumber perikanan di mana kemusnahan kekal ini akan memberi impak negatif yang signifikan kepada sumber perikanan, nelayan dan jaminan sumber bekalan makanan negara.

Menjawab soalan tambahan berkaitan notis rayuan kepada JAS berkaitan EIA projek tersebut oleh wakil nelayan, jelasnya perkara ini selaras dengan Seksyen 35 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Apabila seseorang terkilan dengan apa-apa keputusan Ketua Pengarah di bawah Seksyen (3) dan (4) Seksyen 34A (Laporan EIA) boleh merayu kepada Lembaga Rayuan. Lembaga Rayuan boleh, selepas mendengar Ketua Pengarah dan perayu-perayu itu, membuat apa-apa perintah yang difikirkan patut.

“Di bawah Seksyen 36, Ahli Lembaga Rayuan telah dicadangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan lanjut,” maklumnya. – HARAKAHDAILY 23/7/2020

- Advertisement -