Politik baru perlukan pengorbanan besar

- Advertisement -

PELANTIKAN Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat bagi Parlimen penggal ke-14 telah pun selesai. Bekas Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun telah sempurna dilantik sebagai Speaker yang baru menggantikan Tan Sri Mohd Ariff Mohd Yusof manakala Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said menggantikan Ahli Parlimen DAP Teluk Intan Nga Kor Meng yang meletak jawatan tergesa-gesa semasa hari persidangan.

Walaupun berbagai keraguan dan ketidaktentutan ditimbulkan sebelum ini khususnya oleh pimpinan pembangkang dari blok Pakatan Harapan (PH) termasuklah media sosial tajaan mereka, ternyata calon-calon yang dicalonkan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin telah medapat sokongan dan undi terbanyak.

PH sebelumnya berkokok mahu menolak pencalonan PM itu dan mahu mengekalkan Ariff dan Nga, kononnya mereka punya bilangan yang cukup. Akhirnya mereka kecundang.

- Advertisement -

Pencalonan Azhar menerima sokongan 111 Ahli Dewan dari Perikatan Nasional (PN) manakala 109 dari blok pembangkang menolak. Ini bermakna Azhar berjaya dilantik dengan kelebihan 2 undi. Apa yang menarik berdasarkan perkembangan ini, PN pada hari ini memiliki sokongan 113 Ahli Dewan Rakyat kerana pada hari berkenaan dua tidak mengundi iaitu Timbalan Speaker Datuk Rashid Hasnon Ahli Parlimen Batu Pahat kerana beliau mempengerusikan persidangan manakala Ahli Parlimen Kota Marudu Datuk Maximus Ongkili cuti sakit.

Dengan kekuatan 113 kerusi menyebelahi Kerajaan PN bermakna Tan Sri Muhyiddin selesa memerintah negara dengan majoriti 4 kerusi. PH pula perlu berwaspada kerana walau mereka punya 109 kerusi, iaitu blok pembangkang yang terbesar dalam sejarah mereka sendiri sebenarnya tidak stabil.

Perbalahan dan persengketaan sesama mereka bukan rahsia lagi sehingga berpecah dengan blok Tun dan WARISAN. Tun Dr Mahathir tidak sebulu dengan Anwar, DAP dan PAN pula selesa menyokong Shafie Apdal calon bakal PM yang dicadangkan Tun manakala Shafie sendiri pula dikhabarkan tidak boleh menerima Anwar.

Curiga-mencurigai sesama mereka tidak menjamin masa depan yang baik buat blok pembangkang. Sementara itu ura-ura ramai lagi di kalangan mereka bakal berubah angin dan menyokong PN hangat diperkatakan ekoran tidak yakin lagi dengan PH.

Kita tahu contohnya ramai lagi penyokong Datuk Seri Azmin Ali masih berada di bangku PH. Tindakan meninggalkan PH sedemikian pasti akan mengakibatkan bilangan Ahli Parlimen mereka semakin susut dan akhirnya yang bertambah selesa adalah PN.

Malah rakyat Malaysia melihat dengan mata kepala mereka sendiri apabila PAS dan Umno duduk di bangku kerajaan di Dewan Rakyat, pertama kali sejak lebih 40 tahun dahulu, bersama pula BERSATU, GBS dari Sabah dan GPS dari Sarawak, suasananya cukup harmonis dan mencerminkan apa yang sesungguhnya diingini buat masa ini.

Rakyat mahu melihat kerajaan yang stabil, suasana yang tenang dan muhibbah serta peluang ekonomi yang adil dan terbuka buat semua. Bukannya kerajaan yang didukungi puak rasis dan Cauvinis, yang berjuang untuk kepentingan dan agenda peribadi, berbalah untuk pangkat dan jawatan apatah lagi menipu rakyat dengan janji-janji palsu.

Sementara itu sokongan dari para pengundi Melayu khasnya terhadap Kerajaan Perikatan Nasional, Muafakat Nasional (MN) dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dilaporkan semakin meningkat. Pilihan Raya Kecil DUN Chini baru-baru ini adalah bukti hidup sokongan padu para pengundi Melayu dan ia dijangka semakin kukuh dalam PRK DUN Slim, Perak tidak lama lagi.

Menurut seorang penulis politik Philip Golingai dalam ruangannya di akhbar Sunday Star baru-baru ini para pengundi Melayu cukup selesa dan berkenan dengan permuafakatan politik yang menyatukan pimpinan dan parti-parti politik Melayu bermula dengan lahirnya Muafakat Nasional.

Dari kajian peribadi beliau di lapangan bersempena PRK Chini baru-baru ini, ternyata orang-orang Melayu yang dijumpainya rata-rata memberikan sokongan hangat pada Kerajaan PN, Tan Sri Muhyiddin dan Muafakat Nasional.

Dalam kajiannya di empat kawasan Parlimen di Pahang iaitu Pekan, Kuala Krau, Temerloh dan Bera beliau dapati semua yang didekatinya sama ada bekas tentera, peneroka Felda, siswazah, suri rumah, penduduk kampung dan pekan semuanya menyokong permuafakatan ini.

Golingai membuat kesimpulan bahawa MN hampir pasti berjaya menang di keempat-empat kerusi berkenaan dan pandangannya itu diakui oleh dua pakar lain iaitu Prof Hamirdin Abdul Hamid dari Pusat ILHAM dan Dr Mazlan Ali pengkaji politik dari UTM.

Menurut mereka kepimpinan Melayu dalam Kerajaan Perikatan Nasional semuanya disenangi manakala pimpinan pembangkang sudah semakin hilang aura mereka di kalangan segmen pengundi Melayu khususnya, ini termasuklah Tun Dr Mahathir, Anwar Ibrahim malah termasuk Shafie Apdal yang langsung tidak dikenali.

Segala perkembangan ini sama ada di Parlimen mahupun membawa ke akar umbi sewajarnya memberi isyarat dan keinsafan pada kesemua pimpinan dalam blok kerajaan agar serius membentuk dan menjalin kerjasama politik yang kukuh dan utuh kerana itulah kehendak dan kemahuan rakyat.

Menjalin kerjasama di kalangan berbagai parti seperti ini diakui bukanlah suatu tugas yang mudah namun sedarlah bahawa inilah kehendak akar umbi nadi kekuatan politik orang-orang Melayu iaitu pengundi terbesar dalam negara. Jika tidak diberi perhatian dan keutamaan maka kecewalah anak-anak bangsa yang kesannya dibimbangi akan kita tanggung sebagaimana dalam PRU14 lalu atau mungkin lebih teruk.

Muafakat Nasional, iaitu PAS dan Umno selain BERSATU dan pimpinan lain perlulah bermuafakat secara ikhlas, matang dan tenang. Lihat dan tumpu pada persamaan yang ada bukannya perbezaan yang hanya akan merenggangkan sesama kita.

Proses pembahagian kerusi umpamanya bagi menghadapi PRU15 nanti perlulah mengambil kira realiti semasa, kita sedang membentuk politik baru lalu tiada lagi istilah kerusi tradisional kecuali kerusi yang sedia dimenangi oleh mana-mana penyandang.

Pastikan prosesnya berjalan secara adil sehingga tiada yang terpinggir atau dipinggirkan. Masing-masing berlapang dada dan bertolak ansur, pengorbanan semua pihak untuk menjayakannya sangat diharapkan kerana itulah didikan yang kita terima turun temurun.

Sebagaimana cantiknya adat, budaya dan agama kita maka tunjukkanlah juga kepada rakyat lebih cantik lagi kesepakatan dan permuafakatan kita agar sokongan rakyat berterusan sehingga ke Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Kita sedang membina bersama politik baru buat Malaysia yang tercinta, jangan sekali-kali persiakan harapan rakyat.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 23/7/2020

- Advertisement -