Perpecahan di sebalik mesej kesatuan Islam

- Advertisement -

ISLAM hadir sebagai cara hidup yang memupuk semangat kesatuan dalam kalangan manusia. Islam menyatukan umat Islam dengan dasar aqidah Islamiyyah yang satu. Islam yang menjadi cara hidup umat Islam mempunyai ciri-ciri istimewa iaitu di antaranya Rabbaniyyah di mana sumber panduannya dan sistem pengamalannya datang daripada Allah S.W.T yang satu. Aqidah Islamiyyah telah menjadi mekanisme yang ampuh dalam menyatukan hati, pemikiran, dan tindakan umat Islam dengan satu manhaj hidup yang satu iaitu al-Din al-Islam.

- Advertisement -

Firman Allah S.W.T dalam surah ali-‘Imran ayat 103:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ 

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka kamu dengan nikmat Allah itu menjadi orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”

Menurut Muhammad Ali al-Sabuni di dalam kitabnya Sofwatu al-Tafasir, apa yang dimaksudkan dengan “berpegang teguh dengan tali Allah” ialah berpegang teguh dengan al-Din al-Islam (cara hidup Islam) dan berpegang teguh dengan al-Quran. Manakala, maksud “janganlah kamu berpecah-pecah” ialah janganlah kamu berpecah dan berikhtilaf di atas agama Islam (dalam perkara usul) seperti generasi yang terdahulu sebelum kamu iaitu kaum Yahudi dan Nasrani. [1]

Selain daripada memupuk kesatuan dalam umat Islam, Islam juga memupuk semangat perpaduan di antara manusia tanpa mengira agama, kaum dan budaya di atas semangat muafakat insaniyyah iaitu bersatu ke arah menjunjung kebaikan dan menolak kemudaratan.

Sheikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri di dalam kitabnya al-Rahiq al-Makhtum merekodkan, di Madinah kaum Yahudi terdiri daripada 3 kabilah iaitu Bani Qaynuqa’, Bani al-Nadir, dan Bani Qurayzah. Ketika dalam proses untuk mendirikan Kerajaan Islam di Madinah, Rasulullah S.A.W telah mengadakan perjanjian dengan kaum Yahudi di Madinah dan memberikan kebebasan kepada mereka dalam soal agama dan pemilikan harta benda. [2]

Di antara isi kandungan perjanjian ini ialah (i) pertolongan hendaklah diberikan kepada orang yang dizalimi (ii) saling nasihat-menasihati, berbuat kebaikan dan tidak melakukan perkara yang salah sesama mereka dan (iii) hendaklah saling berkerjasama menentang mereka yang memerangi penjanjian ini. [3]

Namun, di sebalik mesej kesatuan yang dibawa oleh Islam, sejarah juga merekodkan beberapa siri perpecahan dalam kalangan umat Islam silam dengan hikmahnya yang terdiri.

Antaranya adalah seperti berikut;

(1) Peristiwa umat Islam yang mengingkari arahan untuk berhijrah.

Hijrah adalah sebuah peristiwa yang memberi kesan besar kepada pembinaan tamadun Islam. Hijrah menjadi titik perubahan dan titik tolak kepada umat Islam di zaman Nabi S.A.W daripada berada dalam keadaan dihina, dianiaya, disakiti, dan diancam keselamatan nyawa kepada sebuah keadaan masyarakat yang memimpin negara, bertamadun dan berwawasan. Inilah hikmah di sebalik peristiwa Hijrah, ia mengubah nasib umat Islam daripada kegelapan kepada sebuah masa depan yang lebih baik.

Namun, di sebalik peristiwa hijrah yang bersejarah itu, Allah telah merakamkan kisah mereka yang berpisah tidak turut serta bersama Nabi Muhammad S.A.W ketika Hijrah Baginda dan para Sahabat R.A daripada Makkah ke Madinah.

Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Nisa’ ayat 97:

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنتُمْ ۖ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ ۚ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا ۚ فَأُولَٰئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir Musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah Neraka Jahanam, dan Neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.”

Imam Ibnu Kathir mencatatkan di dalam  di dalam kitabnya Tafsir al-Qura’n al-‘Azim, ayat ini ditujukan kepada mereka yang berpisah dengan Nabi S.A.W dan tidak turut sama di dalam gerakan Hijrah daripada Makkah ke Madinah dengan alasan-alasan yang tidak munasabah. Ketika di Makkah, mereka diseru oleh pemimpin Negara kafir Quraisy untuk berperang di dalam Perang Badar dan mereka mati di medan peperangan tersebut. [4]

Imam Abu Daud telah meriwayatkan daripada Samurah bin Jundab, berkata Rasulullah S.A.W;

“Barangsiapa yang bergabung dengan orang Musyrik dan tinggal bersama mereka, maka mereka adalah sama seperti mereka (Musyrik)”. [5]

(2) Tentera umat Islam yang meninggalkan Nabi S.A.W dalam Perang Uhud.

Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri di dalam kitabnya al-Rahiq al-Makhtum merekodkan, setelah kalah di dalam peperangan Badar, para pemimpin kafir Quraish mengumpul sebanyak 3,000 tentera daripada kaum Quraish, sekutu-sekutu mereka dan orang-orang Habsyah untuk berhadapan dengan Nabi dan umat Islam di Madinah. Mereka hadir dengan 3,000 ekor unta untuk mengangkat barang keperluan persenjataan serta 200 ekor kuda perang yang terlatih. Manakala, pada masa yang sama, tentera umat Islam hanya terdiri daripada 1,000 orang tentera. Hanya 100 orang daripadanya memakai baju besi dan 50 orang daripadanya menaiki kuda perang. [6]

Dalam peperangan Uhud, Allah S.W.T telah menzahirkan wajah sebenar golongan-golongan yang munafik di dalam Islam. Abdullah bin Ubai bersama 300 orang Sahabatnya telah mengambil keputusan untuk berpecah dengan kumpulan Nabi S.A.W dan pulang ke Madinah di pertengahan jalan kerana ragu-ragu dengan kewibawaan Nabi Muhammad S.A.W yang meninggalkan pandangan Baginda S.A.W dan mengangkat pandangan Sahabat yang lain ketika proses mesyuarat perbincangan strategi peperangan Uhud.

Tindakan mereka ini adalah satu bentuk usaha untuk mencederakan psikologi tentera umat Islam sehingga menyebabkan dua kelompok daripada baki 700 umat Islam yang lain turut merasa ragu dengan perjuangan di dalam Perang Uhud pada ketika itu. Dua kelompok tersebut ialah Bani Harisah daripada kaum al-Aws dan Bani Salamah daripada kaum al-Khazraj. [7]

Maka turunlah ayat Allah:

إِذْ هَمَّت طَّائِفَتَانِ مِنكُمْ أَن تَفْشَلَا وَاللَّهُ وَلِيُّهُمَا ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ (122)

“(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.”

(ali-‘Imran: 122)

Allah S.W.T juga turut merakamkan hikmah daripada tindakan munafiq Abdullah bin Ubai serta Sahabat-sahabatnya yang lain di dalam al-Quran melalui ayat 167 surah Ali-‘Imran.

Allah S.W.T berfirman:

وَلِيَعْلَمَ الَّذِينَ نَافَقُوا ۚ وَقِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا قَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوِ ادْفَعُوا ۖ قَالُوا لَوْ نَعْلَمُ قِتَالًا لَّاتَّبَعْنَاكُمْ ۗ هُمْ لِلْكُفْرِ يَوْمَئِذٍ أَقْرَبُ مِنْهُمْ لِلْإِيمَانِ ۚ يَقُولُونَ بِأَفْوَاهِهِم مَّا لَيْسَ فِي قُلُوبِهِمْ ۗ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا يَكْتُمُونَ (167)

“Dan agar golongan munafik itu mengetahui ketika dikatakan kepada mereka: “Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu)”. Mereka menjawab: “Kalaulah kami faham ada peperangan (dengan sebenar-benarnya), tentulah kami mengikut kamu (turut berperang)”. Mereka ketika (mengeluarkan perkataan) itu lebih dekat kepada kufur dari dekatnya kepada iman. Mereka selalu menyebut dengan mulutnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.”

(3) Umat Islam yang menentang pemerintahan Abu Bakar (632-634M).

Setelah Rasulullah S.A.W wafat para Sahabat R.A telah melantik Abu Bakar al-Siddiq R.A untuk menggantikan Nabi S.A.W dalam melaksanakan tugas-tugas memimpin umat Islam. Namun, Abu Bakar R.A terpaksa berhadapan dengan beberapa isu perpecahan umat Islam secara mendadak ketika itu apabila umat Islam pada ketika itu berhadapan dengan perubahan kepimpinan umat Islam daripada Rasulullah S.A.W seorang Nabi utusan Allah kepada seorang Sahabat yang merupakan manusia bukan daripada kalangan Rasul atau Nabi.

Abdul Rahman Abdullah (1988) di dalam bukunya Sejarah dan Tamadun Islam merekodkan, Abu Bakar al-Siddiq ketika menjadi khalifah menghadapi cabaran beberapa golongan umat Islam yang menentang Kerajaan Islam di bawah kepimpinan beliau. [8]

Golongan pertama ialah golongan Nabi-nabi palsu dan pengikut mereka. Antaranya Musailamah al-Kazzab daripada Bani Hanifah di Yamamah, Tulaihah bin Khuailid daripada Bani Asad, Nabi wanita iaitu Sajjahdan daripada Bani Tamim dan pegikut-pengikut Aswad al-Ansi yang dipimpin oleh Qais bin Yaghus di Yaman. Kesemua mereka mengaku Nabi di atas faktor taksub perkauman yang tidak mahu Islam dipimpin oleh kaum Bani Hashim.

Golongan yang kedua ialah golongan yang tidak mahu membayar zakat. Mereka dipimpin oleh Malik bin Nuwairah dari Bani Tamim. Kebanyakan mereka tinggal di Yaman, Yamamah dan Oman. Pada pendirian mereka, menurut ayat 103 surah al-Taubah, hanya Nabi Muhammad S.A.W yang layak mengutip zakat.

Demikianlah beberapa peristiwa sejarah yang merekodkan bahawa Gerakan Islam sejak daripada zaman Nabi Muhammad S.A.W hingga ke zaman para Sahabat R.A berhadapan dengan beberapa siri perpecahan umat Islam. Meskipun di antara mesej Islam ialah menyeru kepada kesatuan namun perpecahan umat Islam tetap berlaku mengikut kitaran serta kadarnya .

Perkara ini berlaku adalah sebagai salah satu daripada proses bagi memastikan Gerakan Islam sentiasa mempunyai ahli yang berkualiti dan bersih (tajarrud) daripada sebarang anasir-anasir yang boleh merosakkan Islam daripada dalam.

Hakikatnya, proses tapisan Allah ini akan sentiasa berlaku dari semasa ke semasa sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W sehinggalah ke hari ini. Adalah menjadi tanggungjawab bagi kita semua untuk memastikan diri kita semua bersedia untuk berhadapan dengan setiap tapisan Allah ini dan sentiasa beristiqamah dengan cara hidup Islam yang sebenarnya.

Beruntunglah bagi mereka yang berjaya berada di jalan pertengahan di antara tasyaddud (terlalu keras) dan tasahhul (bermudah-mudahan) dalam agama, sentiasa membersihkan diri mereka daripada sebarang bentuk maksiat dan saling berpesan diantara satu sama lain ke arah kesabaran dan kebenaran.

Sekian, terima Kasih.

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Penolong Bendahari
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 23/7/2020

Rujukan :

[1] Muhammad Ali al-Sabuni (1981), Sofwatu al-Tafasir, Beirut: Darul Quran al-Karim, Jilid 1, Juzu’ 4,Hal. 219

[2] Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri (2007), al-Rahiq al-Makhtum, Qatar: Wazaratu al-Auqaf wa al-Syuu’n al-Islamiyyah Hal.180

[3] Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri (2007), al-Rahiq al-Makhtum, Qatar: Wazaratu al-Auqaf wa al-Syuu’n al-Islamiyyah Hal.187

[4] Al-Hafiz ‘Imadudin Abi al-Fida’ Ismail Ibn Kathir, Tafsir al-Qura’n al-‘Azim (Tahqiq: Sami bin Muhammad al-Sallamah, 1997), Darul Tayyibah, Jilid 2, Hal.388

[5] Imam Abu Daud, Sunan Abi Daud (Tahqiq: Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid), Beirut: Maktabah al-‘Asriyyah, Juzu’ 3, Hal.93, no. 2787

[6] Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri (2007), al-Rahiq al-Makhtum, Qatar: Wazaratu al-Auqaf wa al-Syuu’n al-Islamiyyah, hal. 252

[7] Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri (2007), al-Rahiq al-Makhtum, Qatar: Wazaratu al-Auqaf wa al-Syuu’n al-Islamiyyah, hal. 254

[8] Abdul Rahman Abdullah (1988), Sejarah dan Tamadun Islam, (KL: Teks Publishing Sdn. Bhd.), hal. 97

- Advertisement -