Pengangguran merencat pembinaan anak muda

- Advertisement -

PENGANGGURAN merupakan di antara masalah utama yang akan membantutkan persiapan membina generasi muda. Kerana ia melibatkan persoalan kewangan dan ekonomi untuk seseorang meneruskan hidup.

Menurut Dr Muhammad Said Hawa, bagi Islam, pengangguran bukan sekadar masalah duit, tetapi ia juga melibatkan aspek kepercayaan dan keimanan.

Hari ini jika kita bertanya bagaimana Islam menyelesaikan isu pengangguran? Jawabnya, tidak begitu mudah untuk kita jelaskan, ini kerana tidak ada negara yang benar-benar mengikut sepenuhnya praktikal Islam. Namun begitu, ia terpundak di bawah tanggungjawab pemerintah dan kerajaan untuk menyelesaikannya berdasarkan situasi negara masing-masing.

Seorang Muslim tidak selayaknya membiarkan dirinya berterusan berada pada keadaan tidak berbuat apa-apa. Sebab itulah Nabi S.A.W memberikan pujian dan ganjaran yang tinggi pada mereka yang membanting tulang mencari rezeki.

- Advertisement -

Parlimen yang bersidang baru-baru ini, menyebutkan satu angka yang membimbangkan. Kadar pengangguran ketika COVID-19 dan pasca COVID menunjukkan peningkatan mendadak, yang sudahpun menghampiri satu juta orang penganggur. Penganggur bermusim, tidak ketara dan kitaran pastinya akan menjejaskan kualiti hidup kesemua golongan terbabit.

Yang lebih memilukan juga adalah golongan yang telah memiliki pekerjaan tetap. Namun, disebabkan serangan wabak COVID, sebahagiannya diberhentikan kerja atas kapasiti majikan atau syarikat yang terpaksa gulung tikar.

Bahkan yang perlu diberi perhatian adalah anak muda yang baru sahaja bergraduasi, atau sudah lama bergraduasi tetapi masih gagal menempatkan diri di dalam mana-mana sektor, kerajaan baik mahupun swasta. Menuduh mereka terlalu memilih pekerjaan bukanlah suatu yang membantu. Kita boleh lihat ramai dalam kalangan mereka yang terpaksa merentas bidang dalam usaha mencari pekerjaan. Namun begitu tidak semuanya bernasib baik.

Jika keadaan ini berterusan, menurut Dr Muhammad Said Hawa, ia akan memberikan kesan terhadap pegangan seseorang terutama generasi muda. Tambahan pula, masa lapang yang ada diisi dengan aktiviti yang tidak memberi motivasi dan semangat baru. Tekanan perasaan yang berterusan lalu mendorong seseorang untuk menyalahkan pelbagai pihak. Yang lebih parah adalah menyalahkan takdir, hingga menyalahkan Tuhan.

Bukanlah bermaksud seseorang itu perlu sentiasa di atas tikar sejadah, sujud dan berzikir sepanjang masa. Tetapi hendaklah seorang Muslim itu memenuhi hidupnya dengan urusan yang halal, baik dan bermanfaat.

3 sikap utama diutarakan oleh pengarang dalam usaha mendepani isu pengangguran:

(i) Hendaklah setiap individu tidak meletakkan pergantungan dengan sesiapa dalam urusan rezeki.

(ii) Islam amat menggalakkan umatnya berusaha mencari kerja dan bukanlah termasuk dalam akhlak Muslim apabila redha dengan dirinya membuang masa. Termasuk dalam perkara keimanan adalah seseorang yang berusaha melakukan urusan keduniaan dengan jalan yang halal, ikhlas dan dengan tujuan yang baik baginya pahala dan dikira ibadah.

(iii) Islam juga mengambil kira aspek kegigihan dalam mendapatkan kerja. Tidak semua orang berpeluang makan gaji, maka begitu jugalah tidak semua orang berpeluang berniaga. Kedua-duanya tidak sepatutnya dibeza-bezakan, walaupun banyak Hadis yang menyebutkan kebaikan berniaga. Kerana masih ada lagi yang belum berjaya dalam mana-mana peluang pekerjaan yang ada disebabkan pelbagai halangan dan kekangan.

Sebagai kesimpulan, hayati 8 poin ini dalam usaha mendepani permasalahan anak muda yang menganggur. Moga ada manfaatnya.

(i) Meletakkan keimanan dan tawakal hanya kepada Allah. Dalam berhadapan masalah, sentiasalah kembali padaNya.

(ii) Seorang Muslim mestilah memiliki hasrat untuk bekerja dan berusaha mencari rezeki. Tidak selayaknya untuk sekadar duduk bermalasan dan meminta bantuan semata-mata.

(iii) Hendaklah mencari pekerjaan yang baik dan halal.

(iv) Hendaklah meyakini bahawa setiap pekerjaan dunia ada bahagiannya sebagai ibadah dengan etika yang patuh syarak.

(v) Meyakini bahawa pekerjaan sendiri itu amat mulia sebagaimana amalan Para Nabi seumpama Nabi Zakaria, Nabi Daud dan Nabi Muhammad S.A.W.

(vi) Tidak semestinya kita akan bekerja mengikut bidang yang dipelajari. Nabi Muhammad S.A.W sendiri pernah menternak kambing dan berniaga di pasar. Ia langsung tidak menjatuhkan maruah kita.

(vii) Seseorang yang komited, ikhlas, bersungguh dan berinovatif pasti akan dibuka pintu rezeki di depannya dengan izin Allah.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 23/7/2020

- Advertisement -