Pelantikan Ketua Pengarah Kerja Raya baharu

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman dilantik sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya berkuat kuasa esok (24 Julai), umum Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

- Advertisement -

Mohamad Zulkefly, 58, yang sebelum ini adalah Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) menggantikan Kamaluddin Abdul Rashid yang bersara pada 11 April lepas.

Mohd Zuki berkata Mohamad Zulkefly berpengalaman luas dalam bidang pengurusan projek pembangunan, reka bentuk, pengurusan aset, khidmat nasihat teknikal dan pengurusan awam serta pengurusan nilai dan pernah juga berkhidmat di JKR Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Semoga dengan pelantikan ini, beliau akan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam memastikan infrastruktur dan persekitaran yang lebih baik bagi kehidupan seharian sekali gus menjadi agensi teknikal yang unggul bertaraf dunia,” kata Mohd Zuki dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Zulkefly telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 35 tahun dengan jawatan pertama sebagai jurutera di Jabatan Kerja Raya pada 16 Ogos 1985. – BERNAMA

- Advertisement -