Mubassyirat buat pejuang agama Allah

- Advertisement -

DR. Mohamed Syuman bin Ahmad Al-Ramli menyebut dalam kitabnya ‘Ru’yah Al-Nabi Shollallah ‘Alaihi Wasallam Fi Al-Manam bahawa suatu ketika Ummu Muhammad, isteri kepada Al-Syahid Abdullah Azzam menceritakan kepada beliau suatu kisah mimpi yang menakjubkan.

Kata Ummu Muhamed, seorang yang sangat mulia dan bertakwa (dan dia menyebut nama orang tersebut kepada Dr. Mohamed Syuman) telah bermimpi bertemu Nabi S.A.W. Sementara Al-Syahid Hasan Al-Banna dan Al-Syahid Sayyid Qutb berada di sisi Nabi S.A.W. Lalu orang mulia itu bertanya Nabi, di manakah Abdullah Azzam? Kedengaran Nabi S.A.W menyebut bahawa Abdullah Azzam akan mengikuti jejak langkah kami. Mimpi ini terjadi beberapa tahun sebelum Dr. Abdullah Azzam syahid.

- Advertisement -

Beberapa hari sebelum pembunuhan ke atas Al-Syahid Abdullah Azzam yang menyebabkan kematiannya (syahid), orang yang mulia tersebut bermimpi kembali Dr. Abdullah Azzam berada dalam suatu himpunan yang teramat besar untuk menyambut serta menemui Nabi S.A.W. Dr. Abdullah Azzam lantas terus mara ke hadapan dan bersalaman dengan Nabi S.A.W. Bayangkan dalam sejumlah manusia yang begitu ramai, Dr. Abdullah Azzam terpilih untuk bersalaman dengan Nabi dan ini sudah tentu sebagai suatu perkhabaran yang baik kepada kehidupan dirinya di sisi Allah dan Rasulullah.

Kisah ini menjadi pedoman dan penguat rohani bagi setiap mereka yang memperjuangkan agama Allah S.W.T di atas muka bumi. Bahawa sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya sentiasa mendatangkan Mubassyirat serta perkhabaran yang terlalu bernilai melebihi nikmat dunia dan seisinya. Teruskan berjuang untuk agama Allah dengan penuh keikhlasan. Shollu ‘Ala Al-Nabi!

ASRI EDDIWANIE – HARAKAHDAILY 23/7/2020

- Advertisement -