Masalah air sejak 5 tahun kini selesai

- Advertisement -

TUMPAT: Langkah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menukar paip lama sejauh 7.9 kilometer menyelesaikan masalah tekanan rendah dihadapi pengguna di beberapa kampung dialami sejak lima tahun lalu.

Sekarang penduduk di Kampung Pak Keral, Kampung Kok Bedullah dan Pengkalan Nangka menikmati bekalan air terawat dengan lebih sempurna.

- Advertisement -

Ramai penduduk ketika ditemui melahirkan perasaan gembira dan menghargai usaha AKSB mengatasi masalah tekanan rendah sebelum ini.

Nisah Ismail, 61 dari Kampung Kok Bedullah berkata, beliau begitu terharu dan gembira kerana sebelum ini terpaksa menutup kedai makan kerana ketiadaan bekalan air.

“Sebelum ini anak-anak pun tidak selesa tinggal di rumah kerana tiada air. Begitu juga anak yang tinggal jauh balik kampung sering sewa homestay di tempat lain.

“Sekarang selepas AKSB menukar paip baharu, tekanan air semakin deras. Makcik gembira sekarang kerana masalah yang dihadapi sebelum ini sudah selesai,” kata beliau.

Mohd Zulkhairi Yunus, 29 dari Kampung Pak Keral pula mengucap terima kasih kepada kerajaan negeri dan AKSB kerana menukar paip air baharu di kampungnya.- HARAKAHDAILY 23/7/2020

- Advertisement -