Kerajaan diminta teliti mekanisme pantau PSR

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mekanisme pemantauan terhadap projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) perlu diteliti bagi memastikan projek tersebut sama ada diteruskan dengan mematuhi kelestarian alam sekitar atau dibatalkan.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, PSR dijangka memberikan implikasi yang teruk kepada alam sekitar dengan menyebabkan kemusnahan kekal alam sekitar serta ketidakseimbangan ekosistem flora dan fauna.

- Advertisement -

“Hal ini telah mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuklah dalam kalangan nelayan yang bakal kehilangan tempat mencari rezeki.

“Saya menyarankan pemantauan yang rapi dan sistematik 72 syarat yang telah ditetapkan dalam Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) terhadap projek Tambak Laut di selatan Pulau Pinang (PSR),” katanya kepada HarakahDaily hari ini.

Menurutnya, ketegasan dan sikap profesional Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam menangani projek kontroversi ini sememangnya merupakan satu tonggak penting bagi memberikan jalan keluar terhadap kebimbangan yang dibangkitkan.

“Perkara ini adalah mustahak bagi memelihara alam sekitar daripada dicerobohi oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Dalam Dewan Rakyat hari ini, Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa PSR adalah tertakluk kepada EIA di mana syarat-syarat kelulusan perlu dipatuhi.

Penggerak projek ini katanya, tidak boleh memulakan sebarang kerja di tapak sehingga Laporan Pelan Pengurusan Persekitaran (EMP) diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

EMP merupakan salah satu syarat utama daripada syarat-syarat kelulusan EIA yang perlu dipatuhi.- HARAKAHDAILY 23/7/2020

- Advertisement -