DBKL beku sementara lesen minuman keras

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meneruskan pembekuan pengeluaran lesen baharu menjual minuman keras sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan itu diambil susulan berlakunya beberapa tragedi kemalangan yang melibatkan pemandu-pemandu mabuk sehingga mengancam dan meragut nyawa orang awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat
(PKPB).

- Advertisement -

“Selaras dengan perkembangan semasa dan susulan berlakunya beberapa kemalangan jalan raya melibatkan minuman keras, maka adalah wajar pengeluaran lesen baharu menjual minuman keras ini dibekukan buat sementara waktu sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan.

“DBKL sedang membuat kajian dan penanda aras dengan modul pengurusan pengeluaran lesen minuman keras oleh negara lain contohnya Singapura yang menghadkan waktu penjualan minuman keras, penjualan minuman keras secara runcit adalah dilarang dari jam 10.30 malam sehingga 7.00 pagi,” katanya dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat semalam.

Annuar berkata demikian bagi menjawab soalan Teresa Kok [PH-Seputeh] yang mempersoalkan rasional penggantungan pemberian lesen penjualan arak di Kuala Lumpur.

“Apakah Kementerian telah menjalankan kajian yang menyeluruh berkenaan dengan dasar baru yang akan menjejaskan usaha kementerian untuk menarik lebih pelancong asing dan juga perniagaan industri perhotelan dan tempat hiburan?” Soal Kok.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata kajian penyediaan Garis Panduan Lesen Minuman Keras akan dilaksanakan bersama kementerian dan agensi kerajaan lain yang berkaitan seperti Jabatan Kastam, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pengangkutan.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Dato’ Seri Wee Ka Siong telah memperincikan beberapa cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu pemandu mabuk bakal berdepan hukuman berat penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 jika pindaan akta itu diluluskan Dewan Rakyat.- HARAKAHDAILY 23/7/2020

- Advertisement -