AMAL Bangi bersih surau dan premis awam

- Advertisement -

BANGI: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Bangi terus giat memastikan penduduk kembali menjalani rutin harian mereka seperti biasa setelah dilanda musibah banjir kilat dan lumpur pada kejadian 18 Julai lalu.

- Advertisement -

Termasuk diberi perhatian adalah premis-premis awam yang dilaksanakan kerja pembersihan berikutan banyak dilanda air dan lumpur supaya ia segera dapat kembali diimarahkan penduduk setempat untuk tujuan ibadah berjemaah.

Antara operasi dijayakan AMAL Bangi dibantu sukarelawan syarikat Honda Bangi, MediCom Malaysia dan Briged Muslimat Bangi telah berkolaborasi membersihkan Surau An-Najah, Kampung Jambu, Kajang, di sini semalam.

Akibat ujian alam tersebut, surau yang dapat menampung lebih 500 jemaah ini ditenggelami air sedalam satu meter sekalipun ketinggian lantainya sudah berada satu meter dari aras jalan raya menyebabkan karpet dan perabotnya terpaksa dilupuskan.

Operasi dipimpin Komandan AMAL Bangi, Baharuddin Roz ini bagaimanapun kekurangan peralatan pembersihan utama yang kebanyakannya sudah uzur dan rosak sekali gus mengharap sumbangan orang ramai.

Para dermawan yang mendukung inisiatif ini boleh menyumbang ke akaun Maybank 5628 3462 8118 atas nama Pemuda PAS Serdang di mana peralatan sama penting untuk misi seumpama di seluruh negara.

Dalam pada itu, Yang DiPertua PAS Bangi, Ustaz Mohd Shafie Ngah berharap para jemaah kembali mengimarahkan surau seperti sebelum ini dan suara sama dinyatakan Pengerusi Surau An-Najahm Dr Mumamad Hatta mengajak majlis ilmu dihidupkan semula. – HARAKAHDAILY 23/7/2020

- Advertisement -