Ubah minda siswa ceburi bidang keusahawanan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) disaran menggunakan kepakaran bagi mengubah minda siswa menceburi bidang keusahawanan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) Dato’ Seri Mohammad Mentek berkata, UMK boleh menganjurkan program sehingga boleh membantu golongan berpendapatan terendah (B40).

- Advertisement -

“Program itu diharap mampu memberi manfaat kepada golongan tersebut,” katanya pada lawatan rombongan UMK ke Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Kompleks Pentadbiran Kerajaan di Putrajaya baru-baru ini.

Lawatan itu diketuai Naib Canselor UMK Prof. Dato’ Ts. Dr Noor Azizi Ismail. Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ts. Dr Arham Abdullah, Dekan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Prof Dr Roselina Ahmad Saufi, Pengarah Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana (ISME) Dr Anis Amira Ab. Rahman dan Pengarah Pusat Jaringan Industri Universiti (CUIC) Dr Shah Iskandar Fahmie Ramlee.

Mohammad juga berkata, beliau tertarik dengan bidang tujahan UMK yang spesifik kepada teras keusahawanan termasuk program yang ditawar Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP).
“Saya juga berhasrat menjadikan UMK sebagai universiti angkat kepada MEDAC dan mencadangkan supaya UMK mengatur strategi untuk menyebarluaskan dan memajukan platform e-Commerce,” katanya.- HARAKAHDAILY 22/7/2020

- Advertisement -