TH: Tubuh segera Jawatankuasa Khas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat secara terperinci semua laporan kewangan Tabung Haji (TH).

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, penubuhan jawatankuasa khas tersebut perlu ditubuhkan bagi membongkarkan muslihat dan tipu daya Pakatan Harapan (PH) ketika mentadbir urus TH yang merupakan nadi kewangan umat Islam di Malaysia.

- Advertisement -

Menurutnya, salah laku tadbir pengurusan TH yang pada ketika itu diketuai oleh Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof Rawa terserlah apabila kementeriannya itu tidak dapat membentangkan audit laporan kewangan sepanjang dua tahun mengurus dan mentadbir institusi terbabit.

Tambah Mohd Zai, status laporan kewangan TH bermula tahun 2018 sehingga 2019 perlu dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat bagi memberi jaminan kepada para pendeposit khususnya, rakyat dan kerajaan.

UMMAH juga menggesa agar pengurusan tertinggi TH termasuklah Pengerusi dan Lembaga Pengarah ditukar kepada pimpinan dan pengurusan baharu yang lebih telus dan cekap mengurus tadbir institusi itu.

Malah, UMMAH tidak akan berdiam diri, berpeluk tubuh sekiranya berlaku hal yang sedemikian dalam tadbir urus institusi berkenaan termasuklah rasuah dan salah guna kuasa.

“UMMAH akan membuat laporan polis untuk siasat jika berlaku salah urus dalam pentadbiran TH dan salah guna kuasa,” jelasnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini. – HARAKAHDAILY 22/7/2020

- Advertisement -