TH: Timbalan Menteri bidas mantan Menteri

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ustaz Ahmad Marzuk Shaary membidas kembali soalan tambahan mantan Menteri, Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkenaan isu Tabung Haji (TH).

Beliau menempelak tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang terburu-buru hendak menjual tanah Tabung Haji Plantation (THP) kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd.

Advertisement

“Soalan yang penting di sini ialah mengapa terlalu rushing untuk menjual kepada syarikat ini (Tamaco)? Sedangkan proses pemulihan terhadap harga komoditi yang belum merupakan instrumen utama kepada THP sedang memulih,” kata Ahmad Marzuk.

Beliau mengulas ketika mula-mula PH mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2018, THP mengalami kerugian sebanyak RM678 juta, tetapi kerugian turut berlaku pada tahun 2019 iaitu sebanyak RM245 juta.

Beliau menjelaskan tahun-tahun sebelum itu, antaranya 2015, THP mencatatkan keuntungan sebanyak RM18 juta lebih, tahun 2016 sebanyak RM127 juta lebih dan tahun 2017 sebanyak RM60 juta lebih.

Ahmad Marzuk berkata, semakan hutang terhadap THP mendapati 75 peratus hutang datang daripada syarikat parent company daripada Tabung Haji.

Tambahnya, dengan penjualan aset-aset THP tidak akan dapat menyelesaikan jumlah bebanan hutang berkenaan, sehubungan itu, kata beliau sepatutnya satu penstrukturan semula diadakan dalam hal berkaitan bebanan hutang terutamanya melibatkan aliran tunai THP.

“Kerajaan berpandangan (berkaitan) penjualan ini, banyak perkara perlu diteliti semula dan masih di peringkat penelitian, dan tidak mustahil untuk kerajaan menilai semula untuk membatalkan penjualan syarikat ini,” katanya.

Dalam soalan tambahan daripada Mujahid [PH-Parit Buntar] ketika sesi soal jawab Dewan Rakyat pagi tadi, beliau berkata isu sebenar bukan isu jualan aset tetapi sebab mengapa aset itu dijual.

Ujar Mujahid, THP mempunyai hutang membengkak pada tahun 2018 iaitu sebanyak 1.24 bilion manakala pada tahun 2019 sebanyak 1.29 bilion di mana aset-aset itu juga tidak mendatangkan hasil sehingga menyebabkan pendapatan jatuh kepada 24 peratus.

“Ini semua saya nak tanya kepada menteri adakah fakta-fakta ini semua betul, tahun 2012 hingga tahun 2014, THP bawah Barisan Nasional secara agresif telah beli tanah daripada hanya beberapa 50,000 hektar kepada 100,000 hektar.

“Sebahagian besar daripada tanah itu tidak ditanam (unplanted area), kos produk untuk menanam itu telah meningkat menyebabkan Tabung Haji Plantation mengalami hutang.

“Jadi saya minta menteri jujur untuk beri jawapan supaya tidak menjadi isu TH Plantation ini (bukan) isu politik tetapi isu transaksi dan saya akan serahkan kepada menteri, EPU akan buat keputusan,” soal Mujahid.

Namun, Ahmad Marzuk berkata tanah ‘unplanted area‘ seluas 6,500 hektar hendak dijual kepada syarikat Tamaco terlalu rendah.

“Adapun soalan YB (Mujahid) yang berkaitan dengan ‘unplanted area‘ yang terlibat dengan 65,00 hektar yang nak dijual kepada Tamaco itu, nilainya RM4,500 untuk satu hektar bersamaan dengan 2.5 hektar.

“Terlalu murah YB, tanah kosong RM4,500 hektar. Saya nak ahli-ahli dewan semua boleh pakat beli satu hektar seorang kerana nilainya hanya RM4,500,” bidas Ahmad Marzuk. – HARAKAHDAILY 22/7/2020