PN harus utamakan anak tempatan Labuan

- Advertisement -

MERUJUK kepada poster yang tular dalam laman sosial semalam bertarikh 21 Julai 2020 berkenaan lantikan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, di mana ia telah mengundang pelbagai spekulasi dan komen yang menyatakan kekecewaan dari kalangan masyarakat tempatan.

Melihat kepada situasi ini, PAS Kawasan Labuan dari dulu lagi konsisten memperjuangkan hak warga tempatan Pulau Labuan untuk diberi ruang dan peluang bagi mengisi jawatan-jawatan penting di sini.

Oleh hal yang demikian, PAS Labuan menggesa supaya pihak pimpinan membuat langkah-langkah seperti berikut:

- Advertisement -

(1) Melakukan tinjauan atau kaji selidik kehendak majoriti masyarakat Labuan terlebih dahulu. Perkara ini agak mudah dilaksanakan antara G to G. Zaman digital kini, data dan fakta boleh diakses begitu mudah dengan cepat dan tepat.

(2) Meminta senarai calon-calon daripada kepimpinan parti-parti komponen Labuan mengenai mereka yang berkelayakan dari kalangan anak tempatan.

(3) Jika tidak ada anak watan Labuan yang layak, diperluaskan lagi pencarian dari Sabah kerana masyarakat Sabah mempunyai pertalian kekeluargaan dan budaya yang rapat dengan Labuan.

(4) Jika benar-benar masih tidak ada yang layak, maka barulah dilantik selain daripada perkara 2 dan 3 tersebut.

Bagi PAS Labuan, kriteria-kriteria di atas dapat menjadikan Kerajaan PN sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, peduli rakyat, cakna dan menepati keperluan dan sekali gus menjadikan kerajaan yang didambakan rakyat untuk terus memimpin dan mentadbir Malaysia selepas PRU15 nanti.

Mengetepikan pandangan dan kehendak masyarakat tempatan pastinya bakal mengundang sesuatu yang di luar jangkaan.

HAJI HAMIR HAJI ZAHARI
Yang DiPertua
PAS Kawasan Labuan
22 Julai 2020 – HARAKAHDAILY 22/7/2020

- Advertisement -