Pembuat terompah Pulau Pinang menaruh harapan

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Pembuat terompah dari Pulau Pinang Angeli Choo berharap hasil tangannya itu akan mendapat pengiktirafan rasmi sebagai warisan budaya sejak berzaman oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan, dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

- Advertisement -

Choo, 52, berkata terompah kayu, atau ‘Kah Kiak’ dalam slanga Hokkien, telah sekian lama menjadi warisan Pulau Pinang, dan perniagaan terompahnya itu bukan sahaja bagi tujuan memenuhi permintaan tempatan, tapi juga untuk tuntutan sektor pelancongan.

Katanya beliau berharap hobinya itu akan dapat menghidupkan kembali penggunaan salah satu daripada barangan rumah tradisional yang biasa digunakan di sini pada tahun 1970.

“Jarang-jarang sekali kita lihat generasi muda memakainya sekarang, ..jadi kadangkala memang ada ‘orang tua’ yang datang ke kedai ini membawa anak cucu, untuk ditunjukkan kepada mereka barang-barang ini, mendidik dan menceritakan tentang adat resam dan budaya kita,” katanya ketika ditemui di kedainya di Jalan Rangoon di sini.

Beliau berkata perniagaan membuat dan menjual terompah itu bermula sebagai hobi semata-mata, dan beliau menggalakkan anak-anaknya untuk turut serta bersamanya membuat terompah semasa cuti sekolah mereka.
 
“Tidak lama kemudiannya hobi saya ini menarik perhatian ramai, dan mereka bertanya sekiranya saya menjualnya (terompah), …kemudian barulah suami saya beri cadangan untuk memulakan satu perniagaan menerusi hobi ini,” katanya.

Choo berkata beliau bersama suaminya Teh Guan Heng, 52, memulakan perniagaan menjual terompah kayu pada tahun 2014 di bawah jenama ‘Patricia Choo Collection’, sempena memperingati ibunya.

Katanya mereka biasanya membuat sendiri antara 10 dan 15 terompah kayu dalam sehari, bagi keseluruhan proses pembuatan, bermula dari memotong kayu sehingga mengecat.

“Disebabkan permintaan tinggi, kini kami mempunyai sebuah kilang yang bertanggungjawab untuk kerja-kerja memotong dan melicinkan kayu, namun proses lain seperti memaku dan mewarna, masih dibuat secara manual di kedai ini,” katanya.

Sementara itu Choo berkata kelompok pelanggan yang menjadi sasaran beliau ketika ini telah dikecilkan, dengan hanya bertumpu kepada pelanggan dan pelancong tempatan, disebabkan oleh kemunculan pandemik COVID-29.
 
Beliau berkata sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, kedainya itu merupakan salah satu destinasi pelancongan yang sering disyorkan oleh pemandu pelancong.

Malah, ia telah menarik kehadiran ramai pelancong dari luar negara, termasuk dari Singapura, Indonesia, malah dari Eropah; yang datang untuk membeli terompah sebagai barangan cenderahati.

“Nasib baik semasa peringkat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, apabila pergerakan domestik dibenarkan kembali, ada juga pembelian dibuat oleh pelanggan dari negeri lain seperti Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya terompah amat popular dalam kalangan kaum melayu satu ketika dahulu, dan ia sering dipakai ke surau.

Terompah di sini dijual pada harga RM20 tiap satu, manakala yang dilukis dan diwarna dengan tangan dijual pada harga RM38. – BERNAMA

- Advertisement -