Pelbagai inisiatif pelaksanaan ibadah sepanjang Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa proaktif melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyelesaikan isu-isu yang berkaitan pelaksanaan ibadah yang timbul dalam kalangan umat Islam sepanjang penularan wabak Covid-19.

Menurut Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, antara usaha pihaknya adalah mengadakan mesyuarat jawatankuasa muzakarah khas Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) sebanyak tujuh kali yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia dengan tempoh masa yang singkat.

- Advertisement -

“Antara isu yang dibincangkan adalah solat jemaah dan solat di masjid, pernikahan online, ibadah dalam bulan puasa, pembayar zakat, sambutan hari raya Aidilfitri, pelaksanaan ibadah haji dan korban dengan mengambil kira nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semua keperluan ini dibuat dengan mengambil kira lebih mendalam dari sudut,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli [PAS-Dungun] berhubung usaha-usaha yang dibuat oleh kementerian dalam menyelesaikan isu-isu agama berkaitan pelaksanaan ibadah yang timbul sepanjang penularan wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, risalah khas Al-bayan yang kini masuk kepada siri kedua turut memberi pencerahan kepada umat Islam berkenaan penangguhan ibadah haji, penjelasan berhubung isu korban dan lain-lain.

“Hakikatnya kami berusaha dengan seupaya mungkin untuk menyelesaikannya termasuklah mengadakan kempen,” ujarnya.

Tambah Zulkifli, disebabkan situasi Covid-19 adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia yang menyebabkan beberapa kaedah pelaksanaan ibadah perlu dikaji semula bagi mencapai matlamat ‘maqasid syariah’ menjaga nyawa di samping memelihara kesucian agama.

“Harapan kami agar usaha yang dilakukan ini mampu menjadi panduan sekiranya berlaku lagi penularan wabak seperti ini di masa akan datang,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 22/7/2020

- Advertisement -