Megat Zulkarnain bakal dilantik Presiden PESAKA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) bakal menyaksikan perubahan pucuk pimpinan setelah Setiausaha Agungnya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin hampir pasti dilantik menjadi Presiden baharu persatuan itu.

- Advertisement -

Naib Presiden II PESAKA Sulih Udin memaklumkan mesyuarat PESAKA yang dihadiri 20 ahli gabungannya baru-baru ini bersetuju memilih Megat Zulkarnain sebagai Presiden susulan peletakan jawatan Tun Mohd Ali Rustam yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka.

Pengumuman rasmi berhubung perkara itu dijangka dibuat pada mesyuarat agung tahunan PESAKA yang bakal berlangsung September ini di Melaka, katanya ketika ditemui pemberita pada bengkel perancangan program latihan persatuan sukan kebangsaan 2020-2022 di sini hari ini.

Megat Zulkarnain, yang turut hadir pada bengkel itu, berterima kasih kepada 20 ahli gabungan persatuan tersebut kerana memilihnya selaku Presiden PESAKA bagi menggantikan Mohd Ali.

Beliau berkata fokusnya ketika ini ialah membantu persiapan skuad pencak silat kebangsaan bagi menghadapi beberapa kejohanan antarabangsa pada tahun hadapan, termasuk Sukan SEA ke-31 di Vietnam.
 
“Saya rasa (pelantikan ini) adalah hadiah yang terbaik untuk Tun Mohd Ali, maknanya tiada perebutan jawatan dan kuasa di dalam PESAKA.

“Kita banyak pemimpin (berkaliber) dan ahli-ahli politik dalam exco PESAKA namun jika itulah keputusan mereka (ahli gabungan), kita tunggulah sampai mesyuarat agung tahunan (PESAKA),” kata Megat Zulkarnain yang memegang jawatan Setiausaha Agung sejak 2000.

Beliau memaklumkan jawatan Setiausaha Agung yang baharu, selain pertandingan jawatan Naib Presiden, akan diumumkan semasa AGM PESAKA pada September ini.

Mohd Ali mula dilantik sebagai Presiden PESAKA sejak 2009 namun mengambil keputusan melepaskan jawatan itu setelah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka bagi menggantikan Tun Dr Mohd Khalil Yaakob yang tamat tempoh perkhidmatan. – BERNAMA

- Advertisement -