Larangan dron, mengail dan kuarantin di rumah

- Advertisement -

TIGA kisah ini mempunyai tarikan berita yang sangat kuat dalam dua tiga hari ini. Dua daripadanya kepada rakyat Terengganu, dan satu lagi melibatkan seluruh rakyat Malaysia. Ramai yang marahkan pihak pengurusan Drawbridge yang memberikan arahan kepada semua pihak untuk tidak menerbangkan dron di sekitar Drawbridge.

- Advertisement -

Kata mereka, pihak berkuasa sengaja ingin menyusahkan peminat-peminat dron dengan tujuan yang tidak difahami mereka. Malah tidak kurang juga yang mendakwa kerajaan tidak mengenang jasa baik orang ramai yang secara percuma mempromosikan Drawbridge yang menjadi ikon tarikan terbaharu negeri Terengganu. Hobi dan kesukaan mereka disekat dengan kejamnya oleh pihak berkuasa.

Ada yang mempolitikkan isu ini, mengutuk kerajaan negeri, situasi biasa bagi yang kebulur berpolitik. Ada yang menyatakan kekecewaan mereka dengan pandangan-pandangan mereka yang dilihat dari sisi lain, lalu diluahkan, terkadang dengan kata-kata kesat. Maka hingar bingarlah keadaan dan suasana menuding jari sambil memarahi pihak yang terbabit.

Tidak hanya dengan isu menerbangkan dron, isu memancing juga terpalit sama. Berbagai caci maki dilabelkan kepada pihak pengurusan Drawbridge kerana larangan memancing itu. Sambil sinis, ada yang berkata selepas ini bolehlah bawa ‘pporong’ atau bahasa lainnya ‘bohsia’ untuk bermaksiat kerana sudah tiada pemancing di situ. Ada juga yang tinggi lagi kefahamannya, memancing dilarang kerana terlalu panjang jorannya lalu terkena cermin Drawbridge dan pecah. Begitulah kalau sudah marah, maki dahulu, baru bincang. Adab dan agama, dibuang ke laut.

Pihak pengurusan mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan dibuat setelah beberapa dron telah terhempas di bumbung Drawbridge. Risiko terkena cermin juga perlu difikirkan pengurusan dan lebih besar dari itu, Drawbridge mempunyai tanggungjawab terhadap undang-undang sedia ada dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). Oleh itu keutamaan keselamatan awam dan kepatuhan undang-undang, menjadi prioriti kepada pengurusan Drawbridge. Bukan semua kawasan Drawbridge dilarang menerbangkan dron.

Dan berkaitan dengan aktiviti memancing pula, ianya dilarang di kawasan yang berdekatan bawah jambatan sahaja kerana sisa umpan yang dibuang menyebabkan bau dan kekotoran yang akan menganggu persekitaran kawasan tarikan pelancongan itu. Oleh kerana pengurusan Drawbridge yang menjaga kawasan itu, maka sepatutnyalah mereka wajib memastikan segala aspek terbaik bagi menarik pelancong.

Kaitan dua isu ini dengan isu lebih besar iaitu COVID-19 yang dibimbangi akan mengalami gelombang kedua. Semakin ramai yang pulang ke negara dari negara-negara yang berisiko tinggi. Pada mulanya keadaan agak terkawal dengan perintah kuarantin selama dua minggu di pusat-pusat kuarantin atau di hotel-hotel yang ditentukan kerajaan. Malaysia sangat hampir menang melawan COVID-19.

Setelah diperkenalkan kuarantin di rumah, kemudiannya ada foto-foto tersebar dengan pergelangan tangannya masih dipakaikan gelang penanda dikuarantin, tetapi suspek tetap keluar pergi makan dan minum di luar. Ada juga yang terus membuang gelang itu ketika di KLIA lagi. Kes semakin meningkat hasil dari bawaan dari luar negara dan juga kealpaan segelintir rakyat yang tinggal di Malaysia. Angka menjadi semakin besar, kebimbangan rakyat kembali berlegar. Mengulangi PKP adalah sesuatu pilihan yang tidak akan diterima rakyat, malah kerajaan.

Maka kerajaan dalam rangka memperketatkan undang-undang bagi mencegah wabak merebak kali kedua. Antaranya ialah memperkenalkan semula kuarantin di pusat atau hotel yang dikhususkan kerajaan bagi sesiapa yang datang dari luar negara. Semua bayaran hendaklah ditanggung sendiri sepenuhnya oleh mereka. Dan denda juga akan ditingkatkan bagi sesiapa yang ingkar.

Konteks yang ingin saya tekankan dan perlu kita lihat dari semua isu ini ialah sikap. Sikap yang tidak bertanggungjawab oleh segelintir manusia yang kemudiannya menyusahkan orang lain di belakang mereka yang patuh dan menurut kehendak undang-undang. Mereka tidak memikirkan tanggungjawab mereka dan melepaskan kepada orang lain untuk menanggungnya. Lebih teruk, mereka terlepas, orang lain yang menerima akibatnya. Ini adalah perangai yang mesti kita jauhi.

Saya yakin dan percaya, pemandu-pemandu dron yang berkemahiran dan bertanggungjawab, akan memastikan mereka mempunyai kecekapan yang tinggi dan juga dron mereka dalam keadaan yang  baik sebelum menerbangkannya. Ini bagi memastikan bukan sahaja kualiti gambar mereka terbaik, tetapi jauh lebih penting keselamatan dan juga nama baik kumpulan mereka terjaga.

Sama juga kepada pemancing-pemancing tegar yang sudah sebati jiwa mereka dengan sukan atau hobi itu. Mereka ini semua pada kebiasaannya ialah pencinta alam semulajadi. Mereka benci kekotoran atau sikap tidak bertanggungjawab terhadap flora dan fauna. Mereka adalah pemancing sejati, bukan perosak alam. Ramai orang dari kedua bidang kepakaran ini yang saya kenali. Mereka begitu berdisiplin dengan kerja mereka ini.

Namun, nama mereka yang benar cintakan permainan ini telah terpalit dengan kekotoran yang dibuat oleh segelintir yang lain yang tidak tahu memandu dron, yang menyebabkan sebanyak lima dron telah jatuh di atas Drawbridge. Apa yang akan berlaku jika ia melanggar sesuatu dan pecah, ketika ada ramai orang di atas sana? Atau dron terhempas kerana tidak pandai dikawal, lalu kena orang di bawah sana pada waktu itu? Yang pasti, mangsa atau mungkin keluarga yang akan menanggungnya, pemilik dron pula, mungkin boleh melarikan diri.

Kasihan saya kepada pemain-pemain dron dan pemancing-pemancing yang benar-benar menjaga keselamatan dan kebersihan, orang lain buat, tetapi akibatnya mereka juga yang kena. Juga kasihan saya kepada rakyat Malaysia yang masih berada di luar negara yang terpaksa menanggung kesan daripada sikap sambil lewa pihak lain yang akhirnya tidak sedikit yang mereka kena tanggung. Bayangkan kalau RM150 sehari, mereka terpaksa mengeluarkan RM2100 untuk kos penginapan kuarantin selama 14 hari itu.

Kita tidak akan ke mana dengan sikap yang buruk ini. Mementingkan diri sendiri adalah sikap yang jelek sekali. Kita yang sekarang, sudah tidak memerlukan perangai sebegini. Saya percaya pihak pengurusan Drawbridge yang membuat keputusan yang tidak popular ini juga tidak menyukainya dan juga Kerajaan Malaysia. Tetapi semua ini atas ketegasan mahu mengekang wabak demi keselamatan rakyat.

Wahai golongan yang menjadi penyebab keputusan yang mendukacitakan ini, malulah kepada diri sendiri, sikap kamu sungguh menjengkelkan.

MOHD NASIR ABDULLAH
22 Julai 2020 – HARAKAHDAILY 22/7/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -