Ahli Yang Berhormat! Ini Dewan yang mulia

- Advertisement -

NABI S.A.W mengingatkan:

- Advertisement -

قل الحق ولو كان مرا

“Katakan yang benar, sekalipun pahit.”

Ada beberapa perkataan di sini. Yang pertama قل: “Katakan”. Manusia ada lidah. Dengannya, ia berkata yang baik, yang buruk, dan lain-lain.

Nabi sebut kepada Muaz bin Jabal:

وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ عَلَى وُجُوهِهِمْ -أَوْ قَالَ عَلَى مَنَاخِرِهِمْ- إلَّا حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ؟!”.

“Tidakkah manusia tersembam di atas muka mereka atau katanya: atas hidung mereka melainkan kesan lidah mereka?”

Selagi hidup dan mampu bercakap, manusia akan bercakap. Yang mengawal lidahnya adalah hatinya. Jika hati baik, lidah akan mengeluarkan perkataan yang baik. Begitu juga sebaliknya.

Yang kedua: الحق kebenaran. Allah berfirman:

الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُن مِّنَ الْمُمْتَرِينَ

“Kebenaran itu datang dari tuhanmu, maka janganlah kamu termasuk dari kalangan orang yang ragu.”

(ali-Imran: 60)

Jika ia dari Allah dan Rasul, ia adalah kebenaran mutlak. Yang datang dari sumber lain, ia perlu diteliti, dan kadang-kadang ia menjadi subjektif. Namun, tentunya, setiap orang akan merasai dirinya yang benar. Hinggakan syaitan pun, menganggap dirinya benar dan mahu menegakkan benang yang basah. Syaitan berkata:

 أَنَا خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِي مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُ مِن طِينٍ

“Aku lebih baik darinya (Adam). Engkau (Allah) ciptakan aku dari api dan Engkau jadikannya (Adam) dari tanah liat.”

(al-A’raf: 12)

Maka ayat: “Katakan yang benar” ialah satu frasa yang dihamburkan dalam pelbagai bentuk, medium, cara, gaya dan intonasi. Kebenaran yang disebut tetapi dengan gaya ejekan akan menghilangkan nilai kebenaran. Kebenaran yang diungkap dengan intonasi yang salah akan dianggap kesombongan. Kebenaran yang dihurai dengan bijaksana akan memberi nilai tambah kepada isi kebenaran itu sendiri.

Yang ketiga: ولو كان مرا

“Sekalipun pahit.” Peria yang pahit menjadi ubat kepada pesakit tertentu. Dahulunya ubat di hospital dibenci oleh kanak-kanak kerana pahit, sehinggalah diolah dengan menjadikan rasanya manis atau seperti buah dan sebagainya.

Kata-kata Nabi ini umum. Ia peringatan buat semua orang yang ada lidah dan boleh bertutur.

Saya cuma mengambil kesempatan di saat Dewan Rakyat bersidang kali ini, untuk mengingatkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat supaya berhujahlah dengan fakta dan adab. Elakkan ejekan, bahasa kurang sopan dan yang tidak sesuai dengannya. Persidangan disiarkan secara langsung di TV dan pelbagai media. Penonton yang merupakan rakyat dan pengundi menilai anda, ucapan anda dan peribadi anda. Anda mungkin berada di pihak kerajaan. Banyak bantuan kerajaan yang disalurkan baru-baru ini kepada rakyat, khususnya ketika pandemik COVID-19. Jangan, kerana gaya dan ucapan anda yang jelek di Parlimen, netizen dan rakyat muak dan mual dengan anda dan merugikan kerajaan.

Mungkin anda sudah berada di kerusi Parlimen beberapa penggal, sehingga anda menjadi ‘kalih’ atau tiada rasa apa-apa lagi terhadap institusi Dewan Rakyat yang mulia itu.

Saya hormat kepada Ahli-ahli Parlimen yang berhujah dengan baik, beradab dan berakhlak. Saya puji Ahli Parlimen dari PAS, mulai dari Presiden dan anak-anak buahnya. Bukan kerana saya ini ahli PAS, lalu saya memuji mereka, tetapi anda boleh melihat cara mereka di Parlimen. Saya tidak kata mereka ini maksum. Orang yang mahu mencari keburukan, mungkin akan menemuinya, tetapi ucapan, jawapan, penjelasan mereka jauh lebih beradab, berakhlak dari yang lain.

Kepada Ahli Parlimen PN yang lain, berusahalah untuk berubah kepada yang lebih baik. Jangan kerana sikap dan gaya anda, pengundi akan bersimpati kepada pembangkang dari menyokong Kerajaan PN. Pertahankanlah kebenaran dengan berhikmah, dan beradab. “Tuan Yang Di Pertua, saya mohon mencadang”.

USTAZ NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 22/7/2020

- Advertisement -