TH: Bentang siasatan kepada umum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS berharap kerajaan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat segala krisis berkaitan Lembaga Tabung Haji (LTH) agar dapat dibentangkan kepada umum dengan kadar segera.

Ia ekoran isu penyelewengan dana Tabung Haji (TH) yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu yang melibatkan berbilion Ringgit Malaysia aset umat Islam yang didakwa ‘hilang’.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, Pakatan Harapan (PH) terbukti culas dalam menguruskan dana umat Islam apabila tidak dapat membentangkan audit laporan institusi terbabit selama 22 bulan menjadi memerintah.

“Saya bersetuju supaya jawatankuasa khas dibentuk untuk menyiasat salah laku pengurusan TH yang lepas sebagaimana kita tahu audit laporan TH tidak dibentangkan.

“TH merupakan aset besar kepada umat Islam, pendeposit-pendeposit menghimpunkan wang yang banyak, berbilion di situ,” tegasnya.

Jelasnya lagi, apa sahaja isu yang berkaitan dengan pengurusan institusi dana umat islam tersebut haruslah diketahui umum kerana ianya hak mutlak milik umat Islam.

“Kita mahukan jawatankuasa khas dibentuk bagi menyiasat penjualan aset TH untuk diketahui semua oleh masyarakat umum.

“Kita tidak boleh menutup apa sahaja isu yang melanda TH kerana ianya milik umat Islam dan mereka percayakan TH kerana ketelusannya dalam mengemudi harta mereka,” katanya.

Tambahnya, kesan daripada kejahilan PH menjual aset-aset dan anak syarikat TH, ribuan umat Islam yang bekerja terjejas dek kehilangan pekerjaan di syarikat berkenaan.

Riduan menjelaskan, PH telah memanipulasikan jawapan berkaitan isu tersebut di dalam persidangan Dewan Rakyat dengan memberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Beliau menambah, malah PH juga sengaja menguar-uarkan di media sosial untuk mewajarkan bahawa mereka tidak bersalah dengan tindakan tersebut.

Riduan dihubungi Harakahdaily hari ini, bagi mengulas cadangan Ahli Parlimen Baling, Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mahu PN menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat isu LTH. – HARAKAHDAILY 21/7/2020

- Advertisement -