Perak tegas perangi aktiviti perjudian

- Advertisement -

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah mengadakan operasi gempur judi habis-habisan melalui Ops Judi Serentak peringkat negeri Perak yang telah diadakan sekitar bandaraya ini, kelmarin.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin berkata, dalam operasi itu 10 lelaki telah ditahan dibawah Seksyen 26, Enakmen Jenayah (Syariah) Negeri Perak 1992.

“Mereka yang ditahan disabit kesalahan dibawah Seksyen 26 kerana berjudi ataupun berada ditempat judi dan tindakan lanjut akan diambil oleh JAIPk,” tambahnya.

Menurutnya, tangkapan agak rendah dalam operasi kali ini kerana diadakan di pertengahan bulan selain kebanyakan premis perjudian masih menjalankan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan menyukarkan penjudi untuk memasuki premis.

“Kita dapat laporan yang kebanyakkan penjudi agak segan untuk beratur panjang di luar premis kerana khuatir akan dilihat oleh orang awam.

“Jumlah tersebut dijangka akan meningkat semasa hujung bulan atau pada musim gaji jadi kita akan terus buat pantauan melalui operasi yang JAIPk jalankan bagi mengurangkan penglibatan orang Islam di luar sana” tambahnya.

Beliau bertegas Islam melarang umatnya untuk tidak terlibat dalam apa-apa aktiviti perjudian termasuk perjudian secara langsung ataupun secara atas talian.

“Kita sedar, dengan kecanggihan teknologi yang ada masa kini, mereka (penjudi) tidak perlu ke premis judi. Aktiviti perjudian dapat dijalankan dari rumah masing-masing secara atas talian.

“Pihak Kerajaan Persekutuan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau aktiviti perjudian atas talian,” katanya.

Beliau sempat merakam ucapan tahniah kepada penguatkuasa yang bertungkus lumus menjalankan tugasan dalam operasi itu dan sentiasa komited untuk membanteras penglibatan orang Islam.

Operasi judi ini adalah operasi banteras judi besar-besaran berkala negeri Perak di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Perak yang juga aktif menjalankan secara berjadual bagi tujuan itu. – HARAKAHDAILY 21/7/2020

- Advertisement -