Pengasuh TASTI Al-Hunain ikuti kursus

- Advertisement -

TAIPING: Lajnah Pembangunan Wanita dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Kawasan Taiping menyahut seruan peringkat pusat untuk menubuhkan TASTI di peringkat kawasan di mana TASTI Al-Hunain merupakan cawangan pertama di sini.

- Advertisement -

Telah mula beroperasi sejak Januari lalu dengan bilangan asuhan seramai sepuluh orang terdiri daripada kanak-kanak berusia 3 bulan ke 4 tahun bersama pengasuh seramai empat orang.

Kelmarin, kesemua pengasuh TASTI Al-Hunain telah diberi kursus mengenai cara pengurusan bayi secara teori dan praktikal bagi memastikan proses penjagaan bayi dilaksanakan mengikut spesifikasi yang betul.

Bekas Ketua Jururawat Masyarakat Hospital Taiping, Remlah Hassan telah memberi ceramah berkenaan cara penyusuan bayi menggunakan botol susu, teknik urutan, kaedah memegang bayi ketika memandikannya serta teknik membedung bayi.

Selepas sesi ceramah, turut diadakan sesi praktikal bagi menilai tahap kefahaman para pengasuh dan sesi soal jawab berkaitan pengurusan bayi.

Pengarah program, Noorsinah Saidin berkata, program seumpama ini akan diteruskan kerana dapat memberi pendedahan dan pengalaman berharga kepada para pengasuh dalam konteks pengendalian penjagaan bayi dengan betul.

Kursus yang telah diadakan di TASTI Al-Hunain, Taman Saujana Jaya ini turut dihadiri Ketua Muslimat PAS Kawasan Taiping, Norhanim Mohd Zain dan Ahli-ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Taiping.

TASTI merupakan produk Dewan Muslimat PAS Malaysia yang mana visinya adalah untuk menerapkan penghayatan Asmaul Husna dalam kehidupan awal kanak-kanak.

Penubuhan TASTI juga adalah untuk menawarkan kepada ibu bapa tempat penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak berteraskan Islam yang terbaik dan kondusif. – HARAKAHDAILY 21/7/2020

- Advertisement -