Muslimat sayap perjuangan, pembela wanita

GOPENG: Dewan Muslimat PAS Kawasan Gopeng telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-25 dengan jayanya di Wisma Purnama melibatkan perwakilan Muslimat Cawangan-cawangan, di sini kelmarin dahulu.

Advertisement

Program yang dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) itu telah dirasmikan oleh Bendahari Dewan Muslimat PAS Negeri Perak, Yusmaliza Yussof.

Dalam ucapan perasmiannya, Yusmaliza telah memperingatkan jentera Muslimat agar komited dalam gerak kerja jemaah, bermula dengan usrah sama ada secara langsung atau pun secara dalam talian. 

Tambahnya lagi, para Muslimat dinasihatkan agar menyusun program ziarah dengan lebih teratur seperti ziarah prihatin dan ziarah mahabbah sebagai tanda cakna kepada masyarakat sekeliling.

Seru beliau lanjut, Muslimat juga sewajarnya berperanan melalui gerakan-gerakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak wanita selari dengan tema Muslimat PAS, Islam Memimpin Wanita Sejahtera.

Selain itu, beliau juga mengajak Muslimat untuk menjadikan program Munajat AKIFI sebagai program mingguan yang seharusnya menjadi kelaziman buat seluruh amilat sebagai usaha meletakkan pergantungan erat kepada Allah.

Ketua Muslimat PAS Kawasan Gopeng, Ustazah Rotipah Shaari pula ketika ucapannya menyentuh peranan Muslimat PAS sebagai sayap kiri perjuangan yang berperanan membela wanita sebagai haknya untuk hidup sejahtera dalam melaksanakan tanggungjawab hamba dan khalifah Allah.

Turut berucap dalam majlis tersebut, Yang DiPertua PAS Gopeng, Ustaz Abu Bakar Hussain di mana mengajak Muslimat untuk bangkit dan melibatkan diri dalam gerak kerja perjuangan.

Terdahulu, seluruh wakil muslimat yang hadir berpeluang mendengar kupasan ilmu berkaitan ibadah korban disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustazah Ana Masturah Ismail. – HARAKAHDAILY 21/7/2020