Menantikan penyelesaian isu banjir di Selangor

- Advertisement -

SETIAP kali berlaku hujan lebat luar biasa, beberapa daerah di Selangor akan dilanda banjir. Ianya berlaku apabila paras air di sungai-sungai sekitar daerah dimaksudkan melimpah kerana menerima jumlah air yang besar akibat hujan berkenaan. Selain itu penyelenggaraan parit dan longkang yang lemah akan menambahkan lagi masalah terutama apabila ianya tersumbat kerana longgokan sampah serta mendapan yang tidak diselenggara dengan baik.

Baru-baru ini empat daerah di Selangor dilanda banjir iaitu Hulu Langat, Gombak, Hulu Selangor dan Sepang. Bencana ini telah menimbulkan kesusahan buat rakyat kerana ianya memusnahkan harta-benda dan kenderaan serta mengganggu kehidupan. Selain itu ia juga mendedahkan rakyat kepada masalah kesihatan.

Lantas rakyat berhak tahu apakah usaha yang mahu dilakukan khasnya oleh kerajaan negeri bagi menjamin bencana seumpama ini tidak lagi berulang? Akhbar The Star hari ini melaporkan Menteri Besar Selangor telah mengunjungi Majlis Perbandaran Kajang MPKj untuk mendengar taklimat berkenaan isu ini.

- Advertisement -

MB dipetik berkata bahawa kerajaan negeri akan membina kolam-kolam takungan baru selain mengambil alih kolam-kolam takungan sedia ada yang masih di bawah kawalan pihak pemaju untuk diuruskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor JPS. Ini kata MB merupakan sebahagian dari pelan penebatan banjir yang dirancang kerajaan negeri.

Mudah betul bunyi penyelesaiannya, tetapi adakah ini baru difikirkan atau telah lama? Jika telah lama mengapa ia tidak dilaksanakan sebelum ini sedangkan kawasan-kawasan yang terjejas telah saban tahun dan berulang-kali dilanda masalah ini? Malah sebahagian besar kawasan-kawasan yang terjejas adalah diwakili Ahli-ahli Dewan dari parti pemerintah PH sendiri. Saya yakin punca ini telah lama dikenal-pasti oleh para pakar dan jurutera kerajaan, namun entah kerana apa alasan ianya tidak diberi keutamaan sehingga tidak terlaksana dengan berkesan dan akibatnya rakyat menanggung derita.

MB bertanggungjawab memberi jaminan kepada rakyat Selangor khasnya di kawasan-kawasan terjejas bahawa masalah ini dalam tempoh masa tertentu tidak akan berulang.

Tidak cukup melawat MPKj sahaja, MB perlu juga turun ke Gombak, Sepang dan Hulu Selangor serta memberikan solusi kerana masalah di Hulu Langat mungkin berbeza dengan daerah lain. Arahkan juga agar pihak PBT memberi keutamaan kepada langkah-langkah pencegahan termasuklah memastikan parit dan longkang diselenggara dengan baik, hentikan dulu projek-projek lain dan beri keutamaan kepada isu bencana ini.

Sementara itu setiap kali hujan lebat terutama di beberapa hari mendatang ini, rakyat Selangor akan terus gusar sampai bila mereka akan dapat hidup tenang dan selesa.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 21/7/2020

- Advertisement -