Isu penduduk Setiu diangkat di Dewan Rakyat

- Advertisement -

SAYA telah menggunakan kesempatan berbahas dalam sesi perbahasan Titah Diraja semalam untuk mengangkat isu-isu rakyat di Setiu. Antara perkara yang telah diketengahkan adalah mengenai isu pembangunan infrastruktur seperti perluasan jalan di Jeti Pelancongan Pulau Redang, pembinaan SMK Agama Setiu di Kg Rhu 10 dan institusi pengajian tinggi, menaiktaraf simpang 3 Bandar Permaisuri serta termasuklah pembinaan rumah PPRT di Setiu yang sewajarnya menjadi fokus utama Kerajaan dalam pembentangan bajet kelak.

- Advertisement -

Selain isu-isu infrastruktur, aspek kebajikan kepada rakyat Setiu turut ditekankan yang berkait dengan isu 6 orang nelayan tempatan yang tidak menerima pampasan daripada LKIM disebabkan mereka tidak berdaftar serta isu gangguan bekalan air yang telah menganggu aktiviti harian rakyat.

Saya juga menyentuh beberapa isu nasional khususnya mengenai lambakan PATI di negara ini yang memerlukan ketegasan dan konsistensi daripada pihak Kerajaan. Hal ini kerana ia secara tidak langsung memberikan implikasi terhadap tahap pengangguran dalam negara yang terkesan disebabkan impak penularan Covid-19.

Selain itu, Kerajaan juga sewajarnya mempertimbangkan peningkatan peruntukan terhadap Skim Pembiayaan Teknologi Hijau bagi menampung kos projek LSS@MENTARI kerana ia akan memberikan manfaat secara langsung kepada syarikat tempatan.

Ini adalah beberapa asas yang telah saya bangkitkan dalam perbahasan saya dan insyAllah akan menunggu untuk dijawab oleh pihak Kementerian kelak.

SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu- HARAKAHDAILY 21/7/2020

- Advertisement -