Dekatkan ‘non-Muslim’ dengan perjuangan Islam

- Advertisement -

IPOH: Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan Dan Sukan (DACS) Negeri Perak, Abdul Hadi Azman telah menziarahi keluarga mendiang Ketua Pemuda Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Negeri Perak, Yougan Mahalingam di Tambun, di sini semalam.

- Advertisement -

Beliau yang diiringi Ketua Kelab Permotoran Alternatif (ARC), Ustaz Khusaini Shamsuri, menzahirkan rasa dukacita di atas kehilangan susuk tubuh penting perjuangan PAS Perak itu.

“Saya mengenali beliau (mendiang) sangat rapat. Walaupun mendiang bukan seorang yang beragama Islam, tetapi beliau seringkali mengingatkan kami bahawa perjuangan beliau adalah untuk mendekatkan perjuangan Islam kepada masyarakat non-Muslim.

“Kehilangan mendiang sungguh merupakan kehilangan yang amat besar. Mendiang Yougan merupakan seorang yang sangat menghormati budaya, agama dan bangsa lain sehingga terus menerus dihormati pihak dan disenangi oleh semua kenalan beliau,” ujarnya.

Dalam pada itu, kelab permotoran Islamik itu juga turut menyampaikan bantuan sumbangan kepada keluarga mendiang Yougan melalui kutipan ahli kelab dan orang ramai.

Ketua ARC Perak, Ustaz Khusaini Shamsuri berkata, mendiang Yougan Mahalingam yang merupakan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh juga adalah ahli daripada kelab ARC Malaysia Tambun dan berdaftar pada tiga tahun lalu dengan nombor pendaftaran A0291.

“Kehilangan mendiang Yougan amat dirasai oleh seluruh ahli kelab ARC Perak. Mendiang Yougan sentiasa memberi komitmen penuh ditahap tertinggi dalam konteks kerja berjemaah tidak kiralah ia melibatkan kos kewangan, tenaga kerja berpasukan, pengorbanan masa dan lain-lain. Beliau bukanlah orang yang sering berkira,” ujar Ustaz Khusaini.

Terdahulu, keluarga mendiang turut diziarahi oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria bersama Ahli Jawatankuasa Perhubungan PAS Perak yang lain. – HARAKAHDAILY 21/7/2020

- Advertisement -