Covid-19 bukan penghalang usahawan bangkit

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesan pandemik Covid-19 bukan penghalang buat usahawan untuk kembali bangkit dan terus berjuang meneruskan kelangsungan perniagaan masing-masing.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI), Dato’ Che Abdullah Mat Nawi ketika berucap merasmikan majlis Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2020 berkata, dalam keadaan yang mencabar ini banyak mengajar khususnya usahawan untuk tampil lebih berani.

- Advertisement -

Malah, ianya menjadi pemangkin anjakan paradigma agar perniagaan masing-masing jauh lebih baik ke hadapan berbanding sebelumnya.

“Kekuatan itu tidak datang dari kemampuan fizikal, tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah,” katanya dalam majlis Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2020 yang berlangsung di Hotel Shangri La, di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, program anugerah usahawan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif NiagaTimes untuk membawa para usahawan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berkumpul dan menghargai segala usaha serta sumbangan yang telah mereka berikan dalam pembangunan industri di Malaysia.

Katanya, budaya keusahawanan yang dicorakkan oleh PKS tempatan kelak mampu merealisasikan matlamat kerajaan yang digariskan di bawah Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) Malaysia Negara Keusahawanan Unggul 2030.

Sementara itu katanya, MAFI turut tidak terkecuali memastikan segala usaha dan inisiatif DKN 2030 akan terus dilaksana sepertimana yang telah digariskan.

PKS di Malaysia pada hari ini terlibat dalam pelbagai industri termasuklah sektor pertanian serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turut disumbang oleh PKS menerusi penglibatan dalam pelbagai sektor.

Bagaimanapun, inisiatif NiagaTimes menganjurkan anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2020 adalah untuk meraikan kejayaan para usahawan SME dan PKS di Malaysia.

Dalam masa yang sama ia juga memberi pengiktirafan sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan para usahawan SME dan PKS. – HARAKAHDAILY 21/7/2020

- Advertisement -