‘Tindak pantas’ MBSA padam mural dipersoal

Netizen percaya ada 'dalang' dan tindakan berbaur politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Langkah segera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memadamkan terus mural dinding potret pemimpin dan tokoh utama negara Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 dipertikaikan netizen yang sangsi dengan tindakan itu.

- Advertisement -

Walaupun ianya berikutan mural tersebut telah menjadi mangsa vandalisme pihak tidak bertanggungjawab secara biadab turut mencoret perkataan keterlaluan, tetapi langkah MBSA itu dilihat terlalu mudah dan dicurigai.

Antaranya Abdul Karim Sharifuddin, 44 menyifatkan ada ‘permainan’ di sebalik contengan biadab tersebut untuk menjadi ‘alasan’ bagi pihak berkenaan memadamkan mural yang membangkitkan patriotisme itu.

Suaranya, mungkin terdapat pihak tertentu yang tidak senang kerana mural tersebut mengangkat pemimpin tertentu, tetapi bergembira melihat Pihak Berkuasa Tempatan memilih langkah memadamkan keseluruhan mural.

Kata-kata beliau disokong rakannya Ridzwan Halimullah, 39 yang menyindir MBSA memilih kaedah ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’ di mana percaya bahawa tindakan profesional adalah dengan membaiki mural itu.

“Adakah ini cubaan memberitahu supaya lain kali jangan dibuat di ‘kawasan ini’?” Karim cuba mengolah di sebalik hal itu wujud ‘dalang’ yang bergembira dan bersentimenkan pertentangan berbaur politik.

Seorang warga Shah Alam, Muhammad Taufik Kamar, 36 turut membantah cara MBSA menangani hal tersebut yang disusulinya dengan persoalan sama ada PBT itu telah melaporkan hal berkenaan kepada pihak polis.

Rata-rata netizen juga melahirkan kehairanan bandaraya besar itu mustahil tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan pelaku terbabit disebalik kehebatan karya seni dihasilkan itu.

Mural tersebut memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dihasilkan oleh tiga anak muda secara sukarela.

Juga wajah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah yang dijulang selaku wira utama negara ketika ini dan Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Selain juga gambar wajah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Al-Sultan Abdullah bersama Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta putera puteri baginda pernah mencemar duli ke lokasi itu mengambil foto, juga perkara sama dilakukan Dato’ Dr Noor Hisham. – HARAKAHDAILY 20/7/2020

- Advertisement -