Solat Jumaat dua sesi terserah negeri

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Keperluan menunaikan solat Jumaat dua sesi di negeri-negeri disebabkan kesesakan jemaah dan ruang terhad masjid semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tertakluk kepada pentadbiran agama di setiap negeri berkenaan.

- Advertisement -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata demikian selepas Majlis Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Peduli Pasca Musa’adah COVID-19 Bersama Nelayan Terengganu, di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Chendering, di sini semalam.

Bagaimanapun katanya di peringkat Wilayah Persekutuan, solat Jumaat cuma diadakan satu sesi seperti yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

“Justeru sekarang ini kami telah mengambil ketetapan bagi pihak contohnya Wilayah Persekutuan, kita tidak akan buat dua sesi, kita hanya buat satu sesi sahaja. Negeri lain tertakluk kepada pentadbiran agama negeri.

“Setakat ini apa yang dimaklumkan kepada saya, mereka (negeri-negeri) buat satu sesi sahaja. Ini (solat Jumaat satu sesi) yang diputuskan oleh Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, terpulang kepada negeri masing-masing,” katanya.

Katanya Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI itu turut membenarkan solat Jumaat diadakan di kawasan tepi masjid termasuk pemasangan khemah di pekarangan masjid, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – BERNAMA

- Advertisement -