Pesara guru hasilkan yogurt buatan sendiri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. 

- Advertisement -

Itu pepatah sesuai buat seorang pesara guru apabila cubaan menghasilkan yogurt untuk dirinya sendiri, kini menjadi punca pendapatan selepas menamatkan khidmatnya di Maahad Muhammadi Perempuan (MMP), di sini.

Abdul Rashid Ibrahim, 73, atau mesra dengan panggilan Ustaz Rashid berkata, idea untuk menghasilkan yogurt sendiri tercetus apabila beliau teringin menikmati yogurt tanpa gula seperti yang pernah dinikmatinya ketika menetap di Mesir lebih 15 tahun lepas.

“Ketika pulang ke Malaysia sekitar tahun 1982, saya teringin hendak minum yogurt asli seperti yang pernah dinikmati di Mesir namun ketika itu sukar diperoleh di negeri ini.

“Sejak itu saya terdetik untuk membuat sendiri yogurt menggunakan resipi yang diajar oleh seorang kenalan di Mesir dan tidak menyangka percubaan kali pertama saya menjadi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Wakaf Stan, Kubang Kerian di sini hari ini. 

Bapa kepada lima anak berusia antara 24 hingga 36 tahun itu berkata, pada peringkat awal, beliau memberi yogurt yang dihasilkan kepada 30 pelajarnya sebagai percubaan.  
 
“Mereka (pelajar) lihat saya minum, dan minta untuk mencuba… setelah mencuba, hampir kesemua memuji kesedapan yogurt yang dihasilkan, selain turut mencadangkan supaya dijual kepada orang ramai.

“Saya mula berniaga secara sambilan sejak 20 tahun lalu memandangkan ketika itu saya masih bergelar seorang guru, sebelum fokus sepenuhnya untuk menjual yogurt ini selepas berpencen pada tahun 2004,” katanya.

Menceritakan proses penghasilan yogurt, beliau berkata antara bahan utama yang diperlukan adalah susu segar serta bahan-bahan resipi sendiri yang diperam. 

“Kebiasaannya saya akan mengambil bekalan susu segar daripada pembekal susu segar, sebelum memproses menggunakan resipi ‘rahsia’ tersendiri,” katanya, sambil menambah yogurt buatannya itu tidak menggunakan bahan pengawet.

Abdul Rashid berkata, pada peringkat awal perniagaan, beliau hanya menghasilkan 24 liter yogurt sehari, namun atas permintaan ramai, beliau mampu menghasilkan sehingga 240 liter yogurt sehari.
 
Beliau turut mencipta lima perisa buah-buahan untuk dicampur bersama yogurt asli antaranya perisa anggur, strawberi, epal, mangga, dan tembikai susu, bagi memenuhi selera masyarakat tempatan.

“Antara perisa paling laris dan mendapat permintaan tinggi adalah perisa strawberi, dan ia dijual bermula RM2 hingga RM6,” katanya.

Abdul Rashid berkata perniagaan yogurtnya juga sudah mempunyai 15 cawangan di sekitar Kelantan, di samping beberapa agen di Putrajaya, Cheras, Kedah, Kemaman, Perak dan Negeri Sembilan. 

“Kebiasaannya, yogurt ini akan dihantar melalui bas ataupun kereta dan ia mampu bertahan sehingga sebulan jika dibekukan terlebih dahulu sebelum di hantar ke luar dari Kelantan,” katanya yang dibantu oleh dua anaknya, Ahmad Al Shariff, 29 dan Ahmad Aiman, 25. – BERNAMA

- Advertisement -