Muslimat sebagai perantara rakyat dengan kerajaan

- Advertisement -

PASIR SALAK: Muslimat PAS mempunyai peranan sangat penting antara urusan masyarakat akar umbi dengan agenda kerajaan memerintah, demikian menurut Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Pasir Salak, Ustaz Jamaluddin Yahya.

- Advertisement -

Jelas beliau, iaitulah sebagai penghubung dan pemudah cara yang dengannya akan menghadirkan rasa percaya masyarakat kepada kerajaan dalam melaksanakan tadbir urus pemerintahan negara dan kepentingan rakyat.

Beliau berucap demikian dalam Mesyuarat Agung Tahunan Muslimat PAS Kawasan Pasir Salak yang telah dilangsungkan dengan jayanya di Dewan Haji Rais, Chenderong Balai, di sini semalam.

Ustaz Jamaluddin mengemukakan antaranya adalah khidmat menerusi atau perantara kepada Jawatankuasa Sementara Pengurusan Kampung (JSPK) membantu anggota masyarakat ketika mereka ditimpa musibah agar bebanan dihadapi dapat diringankan.

“(Sebab) kadang-kala (JSPK mungkin) terlepas pandang musibah yang menimpa masyarakat. Jadi (petugas) Muslimat dapat berperanan untuk menjadi mata rantai (penghubung) dalam mendapatkan maklumat dan seterusnya memaklumkan kepada JSPK.

“JSPK pulalah yang akan ketengahkan kepada Penghulu untuk tindakan diambil segera yang bersesuaian. Sebagai contoh supaya segera bantuan sampai kepada mangsa bencana dari peruntukan oleh kerajaan dengan efisien dan berkesan,” ujarnya menerang tanggungjawab itu.

Muslimat katanya, sebagai antara jentera PAS yang besar, turut berperanan untuk meneguhkan kepercayaan bagi meraih sokongan undi terutama dalam kalangan wanita termasuk daripada parti lain untuk meyakini PAS.

Untuk menjayakan hal tersebut bagi menambat hati kalangan pengundi, Muslimat serunya perlu giat melaksanakan aktiviti atau program bersesuaian seperti memasak, menjahit, menggubah dan sebagainya merentas parti.

Beliau turut menarik perhatian terhadap perkembangan yang berlaku di Dewan Rakyat baru-baru ini dengan menyifatkannya sebagai tanda bahawa pilihan raya semakin hampir di mana PAS sebagai parti kerajaan perlu mempertahankan kemenangan. – HARAKAHDAILY 20/7/2020

- Advertisement -