Tarbiyah benteng hadapi cabaran zaman

- Advertisement -

PASIR SALAK: Permantapan majlis-majlis ilmu dan tarbiyah serta tamrin perlu diperbanyakkan untuk memberi bimbingan dan didikan rohani kepada Pemuda dalam meneruskan perjuangan Islam pada masa kini.

- Advertisement -

Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Pasir Salak, Yusuf Abdullah memberi nasihat tersebut dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agong Tahunan Pemuda PAS Pasir Salak Kali Ke-32 di Dewan Kolam Pancing Tok, Jambatan Kampung Gajah, di sini semalam.

Katanya, cabaran masa kini terlalu hebat dengan pelbagai jenis gajet seperti telefon, ipad, komputer dan sebagainya yang diisi dengan teknologi semakin canggih dan berselang seli menyebabkan gejala sosial banyak menyerang golongan muda.

“Yang mana jika tidak ditarbiyah mungkin tiada Pemuda yang sanggup hadir pada mesyuarat pagi,” katanya melihat Pemuda yang hadir memberi komitmen sepenuhnya pada majlis ini.

Beliau mengimbau kembali diawal perjuangannya dahulu tidak ramai kalangan asatizah melibatkan diri dalam perjuangan Islam tetapi kini kebanyakan pemimpin adalah kalangan latar belakang agama dan mudah untuk mengadakan majlis ilmu dan sebagainya.

Beliau yang pernah menyandang Ketua Pemuda suatu ketika dahulu, menyebut satu isu dalam perjuangan Islam ini iaitu berdolak dalih dalam memikul tanggungjawab dengan alasan tiada pengalaman dan kebolehan.

Beliau memandu pencerahan terhadap isu tersebut dengan nasihat bahawa ianya dapat dibendung sekiranya kefahaman ilmu itu dipasakkan secara mendalam dan pentarbiyahan berterusan.

Ayah kepada sembilan anak ini menyatakan, majlis seperti ini merupakan berkumpulnya para pejuang dalam kalangan Pemuda yang bersama dalam jemaah PAS dan berharap istiqamah dalam meneruskan agenda jemaah.

“Teringat akan pesan Almarhum Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat bahawa kita yang jadi pejuang-pejuang Islam ini janganlah bermewah-mewah dengan membina rumah batu, mengikut trend masa kini dan sebagainya.

“Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, ramai pemuda yang memegang peranan penting pada usia yang sangat muda antaranya Saad bin Abi Waqas 17 tahun sebagai pemanah, Zubair Al-Awwam 15 tahun pemain pedang yang handal.

“(Begitu juga) Zaid bin Harith 13 tahun sebagai penulis wahyu dan ramai lagi yang mempunyai kekuatan iman pada usia yang muda.

“Untuk kita dilihat sebagai pejuang Islam yang menjadi contoh dan teladan kepada ummah dan masyarakat, kita perlu melazimi dalam majlis-majlis ilmu, tarbiyah dan tamrin,” pesannya.

Hadir sama adalah Setiausaha PAS Pasir Salak, Ustaz Zamri Saad dan Ketua Muslimat PAS Pasir Salak, Jamaliah Sudin serta wakil PASTI Pasir Salak, Faridah Dawam. – HARAKAHDAILY 19/7/2020

- Advertisement -