Setiausaha UMMAH kembali ke rahmatullah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mansor Ibrahim telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di sebuah hospital di Subang, malam tadi.

- Advertisement -

Pemergiannya itu menjadi satu kehilangan besar buat NGO yang menjadi gabungan besar sekitar 300 NGO lain itu dan telah menyemarakkan kebangkitan rakyat mutakhir ini.

Antara terbesar semasa Almarhum bersama UMMAH telah bergiat aktif menyatupadukan pelbagai NGO Melayu-Islam dengan mengadakan kegiatan membangkit kesedaran ummah di negara ini.

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa dan Ahli Jawatankuasa UMMAH merakamkan takziah kepada seluruh kaum keluarga Allahyarham atas kembalinya beliau ke rahmatullah.

“Beliau (Allahyarham) seorang yang istiqamah dalam perjuangan NGO UMMAH, dan menjadi tulang belakang UMMAH,” ujar Mohd Zai.

Allahyarham yang dilahirkan pada 23 Oktober 1954 berkelulusan Sarjana Ekonomi dari Eastern Michigan University, Amerika Syarikat dan pernah memegang jawatan eksekutif dibeberapa syarikat serta pernah aktif bersama Umno.

Beliau turut pernah dilantik menganggotai Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri sebelum ini.

Allahyarham bersama Presiden dan Ahli Jawatankuasa UMMAH juga baharu sahaja mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Rusila, Marang, kelmarin.

Jenazah dijangka akan disolatkan di Masjid Al-Husna, Sunway dan dikebumikan pada esok hari selepas selesai semua urusan berkaitan oleh pihak hospital yang akan dimaklumkan kemudian. – HARAKAHDAILY 19/7/2020

- Advertisement -