Malaysia tolak normalisasi Israel atas Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bantahan Malaysia terhadap pelan Israel untuk mengilhakan Tebing Barat dan Lembah Jordan jelas membuktikan ia menolak apa saja bentuk normalisasi penjajahan rejim Zionis ke atas Palestin.         

- Advertisement -

Pemimpin Palestin daripada HAMAS, Khaled Meshaal juga menyifatkan Malaysia sentiasa berpendirian tegas dalam isu konflik Palestin-Israel di pentas antarabangsa termasuk di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Beliau berkata peranan Malaysia yang menyatukan ketua-ketua negara dalam isu Palestin adalah pendirian yang berani dan dihormati.

“Jelas (pendirian Malaysia dalam isu Palestin) menolak apa saja usaha menormalisasikan dengan penjajah (rejim Zionis Israel),” katanya dalam wawancara khas mengenai “Pelan Zionis Untuk Merampas Tebing Barat: Bagaimana Kita Harus Hadapinya?” yang disiarkan melalui Facebook Live Aqsa Syarif malam tadi.

Temu bual khas dengan Khaled yang berada di Doha, Qatar bermula jam 8:30 malam, dibawakan khas badan bukan kerajaan Aqsa Syarif, Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE) dan Gabungan Asia Tenggara Bagi Palestin (SACP).
 
Temu bual lebih sejam melalui aplikasi zoom dengan terjemahan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris itu membincangkan rancangan rejim Israel untuk merampas secara paksa 30 peratus wilayah di Tebing Barat dan Lembah Jordan yang dijangka dilaksanakan bulan ini.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-36 yang diadakan secara persidangan maya 26 Jun lalu, Malaysia mendesak masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menolak rancangan pengambilalihan Israel terhadap bahagian wilayah Palestin yang dijajah di Tebing Barat.

Persidangan kamar khas Parlimen Malaysia pada 16 Julai lalu pula, sebulat suara bersetuju dengan usul khas menggesa kerajaan bekerjasama dengan OIC untuk mendesak agar Israel disingkirkan daripada PBB.

Terdahulu, Khaled dalam perkongsiannya menegaskan pentingnya semua pihak meneruskan tindakan bantahan yang jelas seperti usaha memboikot secara ekonomi dan politik terhadap kepentingan Israel.

“Boikot ini menjauhkan kita daripada normalisasi (Israel ke atas Palestin),” kata Khaled sambil menjelaskan pelan Israel yang disokong Amerika Syarikat untuk merampas wilayah Palestin, kini ditentang masyarakat dunia termasuk di Eropah. – BERNAMA

- Advertisement -