Kerajaan komited perkasakan pasaran sawit

- Advertisement -

KUALA NERUS: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) komited untuk memperkasakan Kempen Jom MSPO dengan menyasarkan semua pekebun kecil sawit mendapat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

- Advertisement -

Sehingga kini sebanyak 85.06 peratus daripada keseluruhan 5.9 juta hektar tanaman sawit di Malaysia menerima pensijilan MSPO, demikian menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Ustaz Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berucap merasmikan Program Jom MSPO Negeri Terengganu anjuran Lembaga Mintak Sawit Malaysia (MPOB) dengan kerjasama Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) di Dewan Serbaguna Tepoh, di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi MPOB, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengerusi MPOCC, Muhtar Suhaili serta Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Mad Zaidi Mohd Karli dan Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Juga ADUN Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dan ADUN Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman serta ADUN Manir, Ustaz Hilmi Dato’ Harun dan pegawai serta kakitangan Kementerian, MPOB dan MPOCC serta pekebun-pekebun kecil.

Dato’ Dr Khairuddin menegaskan, Kementerian mensasarkan pekebun kecil juga turut sama dalam MSPO ini di mana mereka adalah individu yang mengusahakan kebun sawit berkeluasan tidak melebihi 40.46 hektar atau 100 ekar.

Pekebun kecil terbahagi kepada dua kategori iaitu pekebun kecil persendirian dan pekebun kecil terancang di mana ini bagi memastikan tidak ada yang terkecuali dalam usaha untuk menghasilkan minyak sawit mampan selari dengan aspirasi Kerajaan dan permintaan pasaran luar negara.

Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa Kementerian akan terus mempromosikan produk-produk sawit sama ada produk makanan ataupun bukan makanan, termasuk menggalakkan pengambilan vitamin E dari minyak sawit, (a-)tocotrienol.

Lebih daripada itu, Kementerian juga maklumnya, akan terus memperluaskan pasaran sawit di luar negara khususnya di Turki, Balkan, Timur Tengah dan Afrika selain daripada permintaan pasaran sedia ada seperti India, China, Pakistan dan Eropah.

Harga minyak sawit mentah (CPO) Malaysia terus memulih dengan harganya meningkat ke RM2,607 satu tan pada 16 Julai kelmarin di mana ia tentunya memberi manfaat kepada pemain industri termasuk pekebun kecil di seluruh Malaysia. – HARAKAHDAILY 19/7/2020

- Advertisement -