Banjir: AMAL Bangi gerak operasi bantuan

- Advertisement -

BANGI: PAS Kawasan Bangi melalui Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Bangi telah mengambil langkah proaktif membuka Bilik Gerakan Operasi Banjir susulan banjir kilat yang melanda Kajang, Bangi, Sungai Ramal dan kawasan sekitar lewat petang semalam.

- Advertisement -

Menurut Yang DiPertua PAS Bangi, Ustaz Mohd Shafie Ngah, usaha AMAL di bawah Dewan Pemuda PAS Bangi dalam membantu mangsa banjir kilat ini adalah satu langkah pantas terutama bagi membantu para penduduk yang terjejas dengan kejadian tersebut.

“Saya selaku Yang DiPertua PAS Bangi merakam ucapan tahniah kepada Komandan AMAL Bangi dan ahli AMAL Bangi atas inisiatif membuka Bilik Gerakan Bantuan Banjir ini. Moga Allah merahmati. Tahniah,” ujar beliau.

Bilik Gerakan Bantuan Banjir telah dibuka dari jam 8 malam semalam dan masih beroperasi hingga kini melaksanakan kerja-kerja pembersihan yang tertumpu pada tiga DUN iaitu Sungai Ramal, Kajang dan Balakong.

Di DUN Balakong, kawasan terjejas teruk adalah di Kampung Jambu dan Taman Muhibbah di mana 40 rumah telah dimasuki air lumpur disebabkan kawasan rendah dan berdekatan sungai.

AMAL telah membantu membersihkan Tabika KEMAS dan rumah penduduk di kampung berkenaan di mana roses tersebut telah mengambil masa yang lama kerana kesukaran membersihkan lumpur yang dibawa air.

Selain itu, bagi DUN Sungai Ramal, AMAL telah bersama-sama membantu kerja-kerja pembersihan di Jalan Lebai Cili, Kampung Teras Jernang, Taman Bangi Jalan Reko dan Taman Seri Langat Jalan Reko.

Manakala, di DUN Kajang, tiga pasukan AMAL telah dihantar untuk membantu penduduk melakukan kerja-kerja pembersihan di Kampung Sungai Jernih.

Misi pembersihan ini telah disinergikan dengan kehadiran anggota AMAL seluruh Selangor termasuk Briged Muslimat PAS serta pelbagai NGO, syarikat dan individu perseorangan juga telah bersama membantu melancarkan gerak kerja kebajikan ini.

Termasuk juga dengan menyumbang pelbagai keperluan seperti water jet, bot, life jacket, makanan dan minuman serta perbekalan asas yang lain.

Dilaporkan, banjir semalam bukan hanya berlaku di Bangi, malah turut melibatkan kawasan lain di negeri ini antaranya Hulu Langat, Sepang dan Hulu Selangor.

Sumbangan orang ramai masih diperlukan dan boleh disalurkan melalui akaun Maybank 562834628110 Dewan Pemuda PAS Kawasan Serdang iaitu Tabung Misi Bantuan Banjir Kilat. – HARAKAHDAILY 19/7/2020

- Advertisement -