Selesaikan isu pencerobohan nelayan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU:Isu pencerobohan nelayan asing secara haram di perairan negara khususnya sempadan Terengganu, dijangka akan dapat diselesaikan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau amat konsisten dalam isu pencerobohan nelayan asing di sempadan perairan negara ini.

Menurutnya, perkara berbangkit itu pernah diutarakan sejak sebelum menjadi Ahli Parlimen lagi bagi membela warga nelayan.

Justeru, katanya dengan kunjungan Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Dato’ Seri Dr Ismail Mohamed Said, diharap dapat menyelesaikan masalah pencerobohan itu.

“Saya ada utarakan kepada Timbalan Menteri 1 KDN (Kementerian Dalam Negeri)berkaitan kegiatan pencerobohan nelayan asing, yang giat melakukan tangkapan hasil laut secara haram di perairan Terengganu dan Malaysia sebelum ini. 

“Isu ini konsisten saya (Amzad)bangkitkan sejak dahulu. Sebelum jadi (Ahli Parlimen)apa-apa lagi,” ujarnya kepada Harakah, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Jamuan Makan Malam di Restoran B’beteng, Taman Tamadun Islam, sempena lawatan kerja Timbalan Menteri KDN itu ke negeri Terengganu dan Kelantan.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli.

Menurutnya, dalam pertemuan santai bersama Timbalan Menteri KDN terbabit turut dibincangkan mengenai hal ehwal negeri Terengganu.

“Dalam pertemuan santai itu, kita ada bincang juga mengenai isu-isu keselamatan, masalah penagihan dadah, pil kuda dan penguatkuasaan undang-undang.

“Saya beriltizam untuk melihat Terengganu terus kekal sebagai sebuah negeri yang rendah paras jenayah serta terpelihara keamanan dan kemakmurannya,” tegas Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Selain itu, katanya beberapa isu seperti pencerobohan nelayan Vietnam, keperluan kompleks Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu dan keperluan penambahan Balai Polis baharu di KualaTerengganu.

“Balai Polis Chabang Tiga (sekarang)sudah terlalu kecil untuk menjaga jumlah populasi yang begitu ramai.

“Permintaan saya juga supaya kelengkapan kapal peronda dan penambahbaikan jeti di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)Terengganu dapat diberi perhatian,” jelasnya.- HARAKAHDAILY 18/7/2020

- Advertisement -