Jangan beri persepsi buruk kepada tulisan Jawi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Walaupun Akta Pendidikan 1963 memutuskan tulisan Rumi dijadikan tulisan rasmi, tetapi Jawi masih merupakan tulisan kedua yang diperkasakan melalui Pendidikan Islam di sekolah-sekolah.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit berkata, demikian itu bermakna tulisan Jawi adalah untuk semua kaum dan tidak sepatutnya dikatakan menceroboh hak kaum lain semata-mata hari Jumaat dijadikan hari Jawi.

Menurut beliau, tulisan Jawi menguatkan Bahasa Melayu itu sendiri di mana Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga telah menerbitkan pedoman terbaru untuk menyelaras tulisan Jawi melalui tatabahasa Melayu.

Jadi di situ tulisan Jawi tidak lagi dijadikan tulisan utama. Walau bagaimanapun tulisan Jawi merupakan tulisan yang kedua. Dan atas apa pun, tulisan Jawi tetap diperkasakan melalui Pendidikan Islam di sekolah-sekolah.

“Tulisan Jawi tidak boleh kita anggap satu tulisan untuk kita kata mengIslamkan ataupun meMelayukan masyarakat yang bukan-Islam. Kerana orang Melayu sendiri, ada anak-anak dalam kalangan orang Melayu dihantar ke sekolah Cina, dan belajar tulisan Cina.

“Hingga ada kawan saya sebut anak dia sendiri tak pandai tulis bahasa Melayu akibat hasil daripada pendidikannya di Sekolah Cina. Dan dia terbawa-bawa dengan tulisan Cina. Tetapi dia tetap dengan agama dia, dia tetap Islamnya. Ini menunjukkan bahawa tulisan ini tidak mempengaruhi seseorang itu untuk menukar agama dia.

“Jadi saya pun hairan sesetengah pihak menyebutkan bahawa pengaruh tulisan Jawi ini boleh menyebabkan seseorang itu menukarkan agama, menceroboh hak yang ada sebagainya lupa kepada sejarah asal,” jelasnya yang juga Munsyi Jawi DBP.

Terangnya, hasrat kerajaan mengekal tulisan Jawi adalah sebagai warisan Tanah Melayu yang terus terpelihara kerana ianya merupakan tulisan Nusantara di mana sudah tentu perlu dimartabatkan untuk jati diri generasi.

Kemukanya, walaupun tulisan itu berasal dari huruf-huruf Arab dibawa pedagang dahulu kala di mana berlaku penyesuaian hingga dapat dilihat penggunaannya di gedung, pasar, kedai dan pelbagai premis serta produk.

“Saya rasa benda ini tidak jadi isulah kepada kita. Masyarakat bukan-Melayu boleh menulis Jawi, boleh membaca Jawi. Ini menunjukkan bahawa ciri-ciri patriotik, ciri-ciri patriotik kita telah asuh, kita telah latih dalam kalangan masyarakat kita yang berbilang kaum.

“Kerana asasnya meletakkan tulisan Jawi tulisan yang kedua ini sebagai satu tulisan yang boleh mengharmonikan negara kita. Bukan tulisan Jawi ini boleh memecahbelahkan rakyat. Dan bukan tulisan Jawi ini boleh menghuru-harakan rakyat.

“Saya bimbang jika ada pihak-pihak tertentu meletakkan tulisan Jawi ini sehingga ke satu tahap yang boleh menyebabkan kerajaan takut, kerajaan bimbang kerana persepsi yang buruk sehingga mempengaruhi kerajaan bahawa tulisan Jawi ini boleh menghuru-harakan negara.

“Dan ini satu saya sifatkan sebagai malanglah kepada negara kita jika persepsi buruk ini dapat mempengaruhi pihak kerajaan itu sendiri. Malah saya anggap bahawa tulisan Jawi ini perlu kita gilap, perlu kita perkasakan di peringkat sekolah lagi,” harapnya.

Ustaz Sabri juga mengimbas era Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memperkenalkan J-Qaf antaranya adalah untuk memartabatkan tulisan Jawi di sekolah tanpa melibatkan kaum-kaum yang lain.

Beliau juga menyatakan sokongan kepada usaha-usaha UPSI mengadakan satu subjek tulisan Jawi dikembangkan dalam kalangan bukan-Melayu tanpa ada sungutan, rungutan, kritikan, terhadap usaha-usaha tersebut. – HARAKAHDAILY 18/7/2020

- Advertisement -