Tiada desakan supaya Ahli-ahli SPR letak jawatan?

- Advertisement -

MENGIKUT Perkara 114 (3) Perlembagaan Persekutuan, seseorang Ahli SPR boleh memegang jawatan sehingga mencapai umur bersara dan tidak boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.

Begitupun, selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil-alih pemerintahan negara pada 9 Mei 2018, BERSIH dan DAP khususnya begitu agresif sekali mengeluarkan pelbagai desakan supaya Ahli-ahli SPR, termasuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusinya, meletakkan jawatan.

- Advertisement -

Desakan-desakan BERSIH dan DAP ini termasuklah kenyataan-kenyataan ini:

(1) “Tujuh pesuruhjaya SPR perlu meletakkan jawatan segera…” (Boleh dibaca di sini: [1])
(2) “BERSIH 2.0 menggesa keenam-enam pesuruhjaya yang lain untuk meletak jawatan dengan segera…” (Boleh dibaca di sini: [2])
(3) “Saya juga telah menggesa supaya enam ahli-ahli pesuruhjaya yang masih berada di SPR untuk letak jawatan dengan serta merta…” (Boleh dibaca di sini: sini: [3])
(4) “Seharusnya enam anggota SPR ini meletakkan jawatan serta-merta…” (Boleh dibaca di sini: [4])

Ekoran desakan-desakan ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah pun meletakkan jawatan mulai 1 Julai 2018 manakala Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Haji Mahmood, dan empat ahli SPR yang lain, iaitu Dato’ Md Yusop Haji Mansor, Datuk Haji Abdul Aziz Khalidin, Haji Sulaiman Haji Narawi dan Dato’ Leo Chong Cheong, pula meletakkan jawatan mulai 1 Januari 2019.

Menggantikan tempat mereka adalah Datuk Azhar Azizan@Harun yang dilantik sebagai Pengerusi SPR pada 21 September 2018 serta Dr Azmi Sharom yang dilantik sebagai Pengerusi SPR dan Dato’ Seri Ramlan Ibrahim, Dato’ Chin Phaik Yoong, Dr Mohd Faisal Syam Abdol Hazis dan Zoe Randhawa (wakil BERSIH 2.0) yang dilantik sebagai Ahli-ahli SPR pada 14 Februari 2019 serta Dato’ Awang Sahari E. M Nadzreer yang dilantik sebagai ahli SPR pada 18 Mac 2019.

Sementara Datuk Azhar Azizan@Harun telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi SPR pada 29 Jun 2020 untuk bertugas sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat, agak pelik juga bila seakan tiada suara yang mendesak supaya Timbalan Pengerusi dan Ahli-ahli SPR, khususnya yang dilihat mempunyai kecenderungan politik tertentu, meletakkan jawatan sama setelah Perikatan Nasional (PN) mengambil-alih pemerintahan negara pada 1 Mac 2020. Saya tertanya-tanya apa sebabnya desakan sebegini tidak dibuat.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 17/7/2020

[1] http://www.bersih.org/kenyataan-media-23-mei-2018-kerajaan-baru-perlu-bertindak-segera-memulihkan-kepercayaan-awam-terhadap-suruhanjaya-pilihan-raya/

[2] http://www.bersih.org/kenyataan-media-14-jun-2018-pesuruhjaya-spr-yang-lain-perlu-dilucutkan-tubuh-rci-bagi-pru14/

[3] https://dapmalaysia.org/statements/2018/07/25/27443/

[4] https://dapmalaysia.org/statements/2018/10/18/27757/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -