PPSMI: Keputusan KPM tepat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan melaksanakan semula Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) merupakan keputusan yang tepat.

Sokongan itu disuarakan oleh 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA), Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

- Advertisement -

Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Prof Dato’ Dr Awang Sariyan berkata, hal ini kerana hasil kajian yang dilakukan sebelum ini oleh pelbagai institusi bahasa dan pendidikan, termasuk universiti dan persatuan serta orang perseorangan menunjukkan kesilapan dan kegagalan program itu.

“Di sebalik perbelanjaan besar yang melebihi RM5 bilion, pencapaian PPSMI hanya sekitar tiga peratus dan menyebabkan kemerosotan yang nyata bagi pencapaian pelajar dalam mata pelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

“Rata-rata kajian menunjukkan bahawa lebih 70 peratus pelajar dan guru tidak menganggap PPSMI sebagai program yang tepat bagi hasrat peningkatan penguasaan bahasa Inggeris, Sains dan Matematik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keputusan KPM untuk tidak memperkenalkan semula PPSMI dinyatakan Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas lanjut, Awang yang juga penyandang Kursi Za’ba Universiti Pendidikan Sultan Idris berkata pencapaian pelajar negara dalam ujian antarabangsa yang berkaitan dengan Sains dan Matematik seperti PISA merosot dengan ketara sesudah pelaksanaan PPSMI.

Malahan katanya, kesan buruk program itu juga terlihat dalam kemerosotan minat pelajar untuk memilih aliran sains sehingga kira-kira 25 peratus sahaja jumlahnya dan masalah itu menimbulkan kesan kepada jumlah pelajar sains dan teknologi di IPT yang juga merosot.

Jelasnya yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, penggantian PPSMI dengan Program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBBI) telah mula memperlihatkan kesan positif dan tiada keperluan PPSMI ditimbangkan untuk dilaksanakan semula.

“Demikian juga Program Dwibahasa (DLP) perlu dinilai semula pelaksanaannya kerana mewujudkan polarisasi dalam kalangan pelajar, iaitu sejumlah pelajar mengikuti Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan sekelompok lagi dalam bahasa Melayu.

“Pakar bahasa dan pendidikan telah menawarkan penyelesaian dengan meningkatkan penambahbaikan dalam mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri, yang meliputi bidang kurikulum, latihan guru, pedagogi atau kaedah pengajaran dan bahan ajar,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, katanya DBP telah menubuhkan pasukan yang diketuai oleh pakar pendidikan, iaitu Prof. Emeritus Dato’ Dr. Isahak Haron untuk mengemukakan langkah praktis dalam peningkatan pengajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam.- HARAKAHDAILY 17/7/2020

- Advertisement -