Nurflix penstriman patuh Syariah dilancarkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Saluran laman penstriman patuh Syariah pertama di Malaysia, Nurflix dilancarkan hari ini sebagai satu lagi medium tambahan dalam usaha merancakkan kegiatan dakwah berskala besar melalui internet.

- Advertisement -

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh pendakwah terkenal Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid selaku penasihat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam, dan majlis disiarkan secara langsung menerusi akaun facebook saluran berkenaan, Nurflix.tv.

Habib Ali dalam satu hantaran di Facebook berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri awal bulan ini bagi mendapatkan pandangan dan nasihat menteri mengenai projek saluran penstriman berkonsep dakwah itu.

“Alhamdulillah saya dan rakan-rakan yang hadir telah mendengar pandangan dan nasihat yang bermakna dari Menteri. Jika kita tak berjaya didik generasi yang ada sekarang dengan hiburan patuh syariah, sekurang-kurangnya generasi yang kemudian insya-Allah akan terdidik,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli menerusi akaun rasmi berbahasa Arab miliknya turut mengucapkan tahniah dan syabas atas usaha berkenaan dan mengharapkan ia menjadi satu lagi pemangkin gerakan dakwah dalam arus digital. – BERNAMA

- Advertisement -