Siap siaga tangani situasi ekonomi kronik B40

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan mesti bersedia memberi lebih keprihatinan terhadap rakyat termiskin dan golongan B40 yang dijangka akan mengalami situasi ekonomi lebih kronik selepas ini kesan dari pandemik COVID-19.

- Advertisement -

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PAS – Pasir Mas) berkata, berdasarkan metodologi terkini Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) telah meningkat kepada RM2,208 yang sekali gus menjadikan angka isi rumah termiskin semakin ramai.

Beliau mengemukakan bilangan isi rumah termiskin dalam negara kini seramai 405,441 isi rumah berbanding 24,700 pada tahun 2016, juga peningkatan sama di negeri-negeri dan bandar seluruh negara.

Menurutnya, tempias pandemik itu telah menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menurun dan defisit fiskal akan menjadi dua kali ganda disebalik usaha membendung penularan penyakit berkenaan.

Jelasnya, disebalik perkembangan positif pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memutuskan rantaian COVID-19, namun terdapat impak negatif kepada sektor ekonomi disebabkan keterbatasan terhadap semua pihak.

Kupas beliau, krisis kesihatan global yang menyaksikan langkah-langkah luar biasa diambil untuk menanganinya itu telah mencetuskan kejutan ke atas bekalan dan permintaan secara mendadak di seluruh dunia.

“Petunjuk ekonomi menandakan bahawa kadar aktiviti ekonomi di banyak negara sedang menguncup dengan ketara. Sementara prospek ekonomi maju dan ekonomi sedang pesat membangun semakin merosot.

“Keadaan ini seterusnya menyebabkan pergolakan yang ketara dalam pasaran kewangan global, lebih-lebih lagi dalam keadaan ketidakpastian dalam pasaran minyak global.

“Kesan paling ketara COVID-19 terhadap ekonomi di seluruh dunia adalah perubahan harga minyak mentah dunia. Harga minyak dikeluarkan oleh Microtrends.com dengan izin menunjukkan ia didagangkan pada USD11.69 setong untuk Mei.

“Di Malaysia, RON 97 didagangkan pada harga RM1.55 seliter, terendah pernah didagangkan di Malaysia,” ujarnya menghurai panjang situasi itu semasa membahas Titah Diraja pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini kelmarin.

Ahmad Fadhli turut menyuarakan kebimbangan terhadap ramalan ahli-ahli ekonomi di mana sekitar 2.4 juta pekerja akan mengalami kehilangan pekerjaan dalam pelbagai bentuk iaitu sementara dan kekal yang juga bakal meningkatkan kadar pengangguran.

Realiti ekonomi yang sangat teruk katanya, akan dapat dirasai selepas daripada tempoh moratorium ditetapkan oleh Bank Negara ini berakhir di mana masing-masing peminjam akan mulai membayar hutang.

Sehubungan itu, dalam mendepani tekanan tersebut, beliau menggesa gagasan menyeluruh dirangka secara teliti dengan pangkalan data serta pelaksanaan berkesan di peringkat akar umbi menerusi peranan agensi-agensi. – HARAKAHDAILY 16/7/2020

- Advertisement -