Rundingan RCEP masih berjalan – MITI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rundingan berhubung Perjanjian Kerjasama Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) masih berlangsung dan bakal dimuktamadkan, jelas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam jawapan lisan bagi menjawab pertanyaan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang [PAS-Marang].

Ahli Parlimen Marang itu, meminta Menteri MITI menyatakan perincian perkongsian RCEP yang akan dimenterai pada akhir tahun nanti.

- Advertisement -

Dalam pada itu menurutnya, negara-negara peserta telah mengulangi tekad dan bersepakat akan memuktamadkan rundingan RCEP, seterusnya menandatangani perjanjian tersebut pada November 2020.

Selain itu ujarnya, sebanyak 28 pusingan rundingan dan tiga sidang kemuncak RCEP telah diadakan sejak rundingan bermula pada bulan Mei 2013 sehingga September 2019 yang lalu.

Mengulas lanjut katanya, pada tahun ini sebanyak empat mesyuarat maya telah diadakan iaitu tiga mesyuarat di peringkat jawatankuasa rundingan perdagangan (TNC) dan mesyuarat intersesi RCEP peringkat menteri ke-10 pada Jun 2020.

Bagaimanapun katanya, perjanjian RCEP itu akan merangkumi sebanyak 20 bab yang akan melibatkan antaranya, perdagangan barangan, prosedur kastam dan fasiliti perdagangan, langkah-langkah sanitary dan phytosanitary serta beberapa yang lain lagi.

Justeru itu katanya, memandangkan rundingan berhubung RCEP masih dijalankan untuk memuktamadkan beberapa perkara, maka butiran secara terperinci hanya dapat dibentangkan selepas teks perjanjian dimuktamadkan.

Oleh itu, dalam merundingi perjanjian RCEP, kerajaan sentiasa mengimbangi kepentingan perdagangan antarabangsa dan kelangsungan industri tempatan.

RCEP adalah perjanjian perdagangan pelbagai hala antara 10 negara anggota ASEAN iaitu Malaysia, Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam serta enam sekutu Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan India. – HARAKAHDAILY 16/7/2020

- Advertisement -