Pilihan raya PBT cetus banyak kepincangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS membantah cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berhubung Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh (gambar) berkata, PAS sentiasa meletakkan kepentingan Islam dan rakyat di hadapan.

- Advertisement -

Malah beranggapan bahawa pilihan raya tersebut tidak relevan dengan keadaan semasa tanah air yang boleh menelan kos yang sangat besar.

“PAS yang sentiasa meletakkan kepentingan Islam dan rakyat di hadapan merasakan bahawa Pilihan Raya PBT tidak relevan dengan keadaan semasa tanah air yang memperlihatkan kerajaan sangat berhemah membelanjakan wang negara.

“Di samping itu, keadaan ekonomi yang belum mantap dan perbelanjaan rakyat bahana Covid-19 yang tinggi.

“Kos sebanyak RM308 juta akan menyebabkan penggunaan wang yang agak besar buat negara kita,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Nuridah menambah, cadangan pelaksanaan Pilihan Raya PBT akan menimbulkan kecelaruan dalam kalangan status pengundi ekoran lokasi pemastautin dan lokasi kerja yang berbeza.

“Keadaan bandar di Malaysia yang mempunyai penduduk yang bekerja dalam sektor kerajaan dan swasta di bandar namun menetap di kampung atau pinggir bandar menimbulkan isu siapakah yang harus mengundi pilihan raya tersebut,” sangkalnya.

Tambahan lagi katanya, pilihan raya berkenaan sememangnya tidak sesuai dan tidak relevan atas pelbagai faktor dan mampu mencetuskan kepincangan antara kaum serta kecelaruan antara parti.

“Hakikatnya, Pilihan Raya PBT selain tidak sesuai dilaksanakan atas faktor sosial dan kewangan, ia akan menambahkan ketegangan dan pemisahan antara kaum yang telah lama berlaku di Malaysia.

“Selain itu, akan timbul keadaan parti yang memenangi Pilihan Raya PBT berbeza dengan kerajaan di peringkat negeri dan pusat,” tegasnya.

Beliau menambah, bantahan cadangan itu turut disuarakan pada sesi persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Ahli Parlimen Tanjung Karang dari Barisan Nasional (BN) Tan Sri Noh Omar, Ahli Parlimen Kapit dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato’ Alexander Nanta Linggi, Ahli Parlimen Puncak Borneo (BERSATU), Willie anak Mongin dan Ahli Parlimen Pasir Puteh (PAS), Dato’ Dr Muhammad Nik Zawawi Salleh menyatakan bantahan cadangan itu.

Terdahulu, pelaksanaan semula PBT adalah merupakan manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum 2018 dan akan dijangka akan dilaksanakan pada 2022.

Meskipun cadangannya itu tidak dipersetujui oleh bekas Perdana Menteri PH, Tun Dr Mahathir Mohamad pada ketika itu, Zuraida masih bercadang untuk melaksanakannya.

Walau bagaimanapun, kali terakhir Pilihan Raya PBT dilaksanakan adalah pada 1965 ketika pemerintahan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. – HARAKAHDAILY 16/7/2020

- Advertisement -