Keampuhan pertahanan negara perlu dinilai semula

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penilaian semula terhadap Polisi Pertahanan Negara perlu dilakukan dalam mencapai objektif dan strategi tanpa tertumpu hanya kepada aspek keupayaan perkakasan perang semata-mata.

- Advertisement -

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PAS – Pasir Mas) malah menegaskan supaya ciri-ciri pembangunan modal insan diutamakan melibatkan aspek semangat jihad, memburu syahid dan kekuatan bersandar ketakutan kepada Tuhan.

Namun kata beliau, jika sebaliknya, strategi hanya akan indah tertulis di kertas dan bersifat retorik dengan tentera menjadi hina, lemah dan hilang keberanian untuk melawan musuh serta mempertahankan negara.

Beliau menyentuh perkara berkaitan pertahanan negara semasa membahas Titah Diraja pada Sidang Deean Rakyat di Parlimen, di sini kelmarin.
 
“Dalam aspek pertahanan ini, tidak boleh dipandang ringan kerana industri pertahanan negara yang melibatkan aset-aset tempur, alat ganti sistem penderia, sistem persenjataan, jentera, peralatan elektronik dan pembekalan peluru banyak bergantung kepada original equipment manufacturer dari luar negara.

“Secara amnya, semua negara di seluruh dunia turut menanggung parah akibat COVID-19 di mana jaringan pembekalan dan pembuatan terjejas. Suasana sebegini perlu diberikan perhatian dalam menentukan bagaimanakah aset pertahanan negara dapat diselenggarakan dan dioperasikan dengan baik.

“Saya ingin menyentuh isu pembinaan enam buah kapal littoral combat ship (LCS) dengan kos RM9 bilion yang masih belum diselesaikan di mana negara telah berbelanja lebih RM6 bilion sedangkan sehingga kini tidak diketahui bilakah siapnya.

“Kita bukan sahaja membelanjakan wang rakyat tetapi turut membazir tenaga, menjejaskan imej industri pertahanan negara dan yang lebih utamanya menjejaskan pertahanan negara,” ujarnya menyentuh sama laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap isu itu.

Tegasnya, isu ini perlu diambil serius kerana isu yang sama telah berulang kali berlaku di syarikat sama ketika pembinaan offshore patrol vessel (OPV) pada tahun 90-an dulu mengakibatkan penggunaan wang rakyat beribu juta ringgit.

Ahmad Fadhli turut menyuarakan kebimbangan kerana kelengkapan perang negara terlalu banyak bergantung kepada sumber dan kepakaran asing di mana industri pertahanan tempatan dilihat tidak mampu untuk mendukung keperluan tentera sendiri.

“Di kala negara-negara sekitar kita telah mampu mengeluarkan sendiri perkakasan majornya dan semakin terkedepan teknologi mereka. Kita dilihat masih terkial-kial bukan sahaja tidak mampu membuatnya sendiri.

“Bahkan untuk menyelenggarakan peralatan ini pun perlu bergantung kepada peralatan dan kepakaran daripada luar,” ujarnya menuntut perhatian kerajaan. – HARAKAHDAILY 16/7/2020

- Advertisement -